Isnin, 27 November 2017 | 1:48am
PENYANYI, Lan Kristal sidang media isu dalaman berkenan kumpulan Kristal pada konsert minggu ke 5 Gegar Vaganza Musim ke 4. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Lan tinggalkan Kristal

KUALA LUMPUR: Vokalis Kristal, Lan, membuat keputusan mengundur diri daripada kumpulan yang dianggotainya sejak 18 tahun lalu itu.

Beliau berbuat demikian kerana terasa hati dengan tindakan anggota kumpulan itu yang dikatakan melakukan sesuatu tanpa berbincang dengannya terlebih dulu.

Baru-baru ini, menerusi laman sosial kumpulan itu, mereka mengeluarkan kenyataan merehatkan penyanyi terbabit.

Bukan sekadar merehatkan beliau, malah Kristal turut mengumumkan bakal mencari vokalis baharu.

"Selama ini, apa yang mereka buat di belakang saya, tanpa berbincang dengan saya, saya hanya diamkan diri. Saya menjadi orang terakhir yang tahu.

"Apabila saya menyuarakan perancangan projek solo, saya dipersalahkan dan dituduh 'tunggul'.

"Kalau saya tunggul, sudah 18 tahun saya menjadi tunggul di dalam Kristal. Sebenarnya, projek solo itu bukanlah bererti saya mahu meninggalkan Kristal, malah ada juga anggota lain yang turut buat projek solo. Ini adalah projek sampingan bagi menampung saya dan keluarga, tetapi masih bersama Kristal.

"Apabila mereka menyuarakan untuk merehatkan saya, maka saya akan berehat dan tidak ada lagi perbincangan selepas ini," katanya ketika ditemui selepas konsert minggu kelima Gegar Vaganza 4 di sini, malam tadi.

Kata Lan, beliau tidak berdendam dengan kumpulan yang menaikkan namanya itu.

"Buat peminat kami, teruskan menyokong mereka dan saya tidak pernah berdendam dengan mereka kerana saya sudah anggap mereka sebagai keluarga.

"Apabila perkara ini timbul, saya sangat terkilan dengan apa yang diperkatakan," katanya.

Enggan memanjangkan lagi isu terbabit selepas ini, Lan berkata, apa yang disuarakannya adalah muktamad.

Mengakui akan meneruskan projek solonya selepas ini, Lan memutuskan untuk membawa jenamanya sendiri.

"Sebenarnya saya ada perancangan sempena 20 tahun Kristal, tetapi apabila kemelut ini terjadi, semua apa yang saya rancangkan sudah berakhir.

"Selepas ini saya akan memfokuskan kepada kerjaya seni saya secara solo," katanya.

458 dibaca
Berita Harian X