Selasa, 21 November 2017 | 5:03pm
PELAWAK dan pelakon, Zizan Razak, kini sibuk menjayakan penggambaran filem Polis Evo 2. - Foto Mahzir Mat Isa

Kerja tanpa henti punca pitam - Zizan

KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Zizan Razak, meminta peminatnya usah risau dengan kejadian dia pitam ketika menjalani penggambaran babak aksi filem, Polis Evo 2, di Kampung Serandu, Kuantan, semalam.

Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 33, berkata beliau berasa terlalu lemah gara-gara melakonkan babak aksi tanpa henti bagi mendapatkan visual terbaik untuk filem terbabit.

"Memang dari pagi sampai ke petang kami menjalani penggambaran aksi lasak tanpa henti.

"Walaupun sudah cantik visualnya, saya tetap bersemangat untuk menjalani rakaman beberapa kali bagi mendapatkan hasil terbaik. Tetapi, ketika saya sedang melompat, pandangan saya terus gelap.

"Mungkin kerana terlalu penat, saya pitam. Mujurlah abang bomba menyelamatkan saya ketika itu," katanya kepada BH Online.

Tambah Zizan, kesibukan beliau berulang-alik dari ibu negara ke Kuantan, Pahang, juga membuatkan badannya terlalu letih.

Semalam, Zizan memuat naik foto beliau sedang terbaring, sambil dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang mengurut kaki dan tangannya dengan disaksikan beberapa kru produksi.

Pada gambar berkenaan, Zizan meletakkan tanda pagar #kitaok, seperti memberikan bayangan dirinya tidak mengalami kecederaan serius. Status terbabit turut disertakan dengan beberapa tanda pagar lain seperti #getwellsoon #zizanrazak #action #film #movie #love #live #polisevo2.

Selain Zizan, turut beraksi dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar itu ialah Shaheizy Sam, Erra Fazira dan Hairul Azreen.

Sementara itu, Zizan mahu menunjukkan betapa beliau dan pelakon lain bersungguh-sungguh menjayakan sesebuah filem, seterusnya berharap peminat tidak mudah terpengaruh untuk menonton karya tempatan menerusi cetak rompak.

"Lihatlah betapa kami bersungguh-sungguh menjayakan sesebuah watak untuk tontonan peminat.

"Hargailah kami yang mahu memberi yang terbaik buat penonton dan elaklah menonton filem cetak rompak, tidak kiralah apa-apa medium sekalipun," tuturnya.

Berita Harian X