Isnin, 20 November 2017 | 10:00pm
AIMAN Tino (kiri) ketika menyanyikan lagu Permata Cinta pada separuh akhir Muzik-Muzik 32 minggu kedua di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral, Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TIMBALAN Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan (tengah) menyampaikan pakaian sekolah Sweet Aiman Junior kepada pelajar sekolah sambil diperhatikan Aiman Tino (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Wonder Glow Cosmetic (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Izal Jamaludin (kanan) pada majlis pelancaran pakaian seragam sekolah SweetAiman Junior di Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Pecah, Kuala Lumpur, minggu lalu. - Foto Amrullah Abdul Karim

Dilabel remaja kontroversi, Aiman Tino mula berhati-hati

KUALA LUMPUR: Belum sampai dua tahun mencipta nama, penyanyi remaja, Aiman Tino, tidak putus-putus dilanda kontroversi.

Pada awal kemunculannya, Aiman dikatakan menumpang populariti penyanyi veteran, Herman Tino apabila kebetulan nama 'Tino' digunakan sebagai panggilan komersial dalam mengumpan peminat.

Tidak lama selepas itu, kecoh apabila pihak pengurusannya dikatakan meminta bayaran tinggi setiap kali Aiman ditawarkan membuat persembahan.

Terbaharu, timbul pula cerita kononnya Aiman ditangkap khalwat disusuli kisah panas kononnya foto yang memaparkan penyanyi Ku Rela Dibenci ini memeluk erat seorang gadis, tersebar di internet.

Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri mengaku pada awalnya agak sukar untuk menepis satu persatu kontroversi. Namun, lama-kelamaan dia belajar untuk menerimanya dengan minda terbuka.

"Saya mengaku pada mulanya susah untuk saya mengawal emosi, apatah lagi apabila difitnah. Tapi selepas satu demi satu dugaan datang, saya terbuka menghadapinya.

"Syukurlah saya mendapat bimbingan emak dan ayah. Merekalah yang banyak menasihatkan supaya bersabar. Mereka beritahu apa yang saya lalui adalah asam garam industri hiburan. Mahu atau tidak, saya perlu hadapinya. Saya ambil setiap dugaan itu sebagai pengajaran," katanya kepada BH Plus.


PENYANYI remaja, Aiman Tino. - Foto Rosela Ismail

Berdepan satu persatu kontroversi, Aiman mengambil peluang memperbaiki dirinya.

Baginya, kontroversi yang timbul mungkin disebabkan kesalahan dirinya sendiri.

"Saya perlu mengubah sikap menjadi lebih baik. Mungkin saya ada membuat silap sebelum ini. Itu yang membuatkan saya tidak digemari ramai," katanya.

Janji sambung belajar

Ditanya mengenai perancangan masa depan, penyanyi berusia 19 tahun ini berkata, dia tidak berniat mengetepikan pelajaran apabila dilihat lebih mengejar karier.

Sebaliknya, Aiman mahu memberi fokus kepada satu perkara pada suatu masa.

"Buat masa ini, saya mahu fokus kepada karier. Pada masa sama, saya mahu membantu kedua-dua orang tua. Insya-Allah, jika ada rezeki nanti, saya akan sambung pengajian.

"Bukannya saya tak mahu belajar, tapi bukanlah pada waktu terdekat ini. Lagipun, saya masih muda dan pelajaran adalah satu elemen penting dalam hidup, justeru tak akan saya ketepikan begitu saja," katanya.

Aiman berkata, ibu bapanya lebih selesa jika dia menyambung pelajaran di mana-mana institusi di Lembah Klang demi memudahkan mereka berulang-alik dan menguruskan kerjaya seninya.


PENYANYI, Aiman Tino atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pertama kali jadi rapper

Mengenai pengurusan karier, Aiman berkata, ibu dan bapanya banyak membantu mengendalikan agenda seni. Berikutan itu, agak sukar untuk Aiman berjauhan dengan kedua-dua orang tuanya.

Dalam soal kewangan, Aiman bagaimanapun memberitahu, perkara itu tidak diserahkan 'bulat-bulat' kepada ibu bapanya.

"Saya simpan wang sendiri kerana ada akaun bank. Namun, saya tidak berahsia dengan emak dan ayah. Mereka tahu bagaimana saya menguruskan wang saya.

"Sekiranya bayaran diterima ayah, dia akan menyerahkan kepada saya. Kami sekeluarga sudah memahami rentak masing-masing dan telus dalam soal wang," katanya anak keempat daripada 10 beradik ini.

Dalam perkembangan lain, Aiman tampil dengan single duet bersama kakaknya, Fara Hezel. Single yang bertajuk Terasa Cinta itu menampilkan Aiman sebagai penyanyi rap buat julung kalinya.


AIMAN Tino bersama kakaknya yang juga penyanyi, Fara Hazel. - Foto Rosela Ismail

INFO

  • September lalu, ketika dilanda gosip kononnya sudah memiliki teman wanita, foto Aiman memeluk erat seorang gadis tersebar di internet. Gambar itu menampakkan seolah-olah gadis terbabit bersandar di dada Aiman.
  • Kemudian, tersebar berita palsu mendakwa Aiman ditangkap khalwat bersama seorang gadis dalam kereta di Subang.
  • Pernah terjerat dalam isu pengurusan yang dikatakan meletakkan harga tinggi dan tidak munasabah untuk persembahannya. Aiman dituduh mengenakan kadar bayaran RM10,000 untuk sebuah lagu.
  • Pernah didakwa mungkir janji apabila tidak muncul memenuhi undangan persembahan untuk sebuah majlis hari jadi.
  • Selepas diumumkan sebagai finalis Anugerah Juara Lagu ke-31, Aiman pernah dilaporkan maut dalam nahas jalan raya.
Berita Harian X