Ahad, 19 November 2017 | 6:18pm
PENYANYI, Noraniza Idris bersama anak, Fee Haiqal.
Fee Haiqal. - Foto Aziah Azmee

'Ibu tak pernah campur tangan'

KUALA LUMPUR: Biarpun ibunya, Noraniza Idris dikenali sebagai ratu etnik dan irama Malaysia, bakat baharu, Fee Haiqal selesa bergerak atas jalur muzik jazz dan R&B yang disifatkan ada kelas tersendiri.

Fee, 24, memberitahu, ibunya tidak pernah memaksa dirinya mengikut jejak sama dengan menyanyikan lagu irama tradisional.

"Saya bertuah pada peringkat permulaan untuk menceburi bidang seni, prosesnya agak senang. Ini kerana saya kenal dengan ramai pemuzik, apatah lagi keluarga saya mempunyai latar belakang orang muzik dan seni.

"Namun, baik ibu atau ayah, mereka tidak memberi tekanan untuk saya mengikut jejak langkah mereka.

"Sebaliknya, ibu dan ayah terus memberi sokongan atas apa yang saya suka. Ini secara tidak langsung bermakna saya bebas menentukan haluan muzik sendiri," katanya kepada BH Online.

Tampil dengan single Aku Mencari yang dilancarkan dua bulan lalu, Fee memberitahu, ibunya banyak mengajar teknik nyanyian dan kawalan vokal.

"Ibu beritahu jika kita mahu memperbetulkan nyanyian, lagu tradisional adalah antara genre terbaik dalam aspek kawalan vokal," katanya.

Mengenai pemilihan genre jazz dan R&B yang dianggap niche di Malaysia, Fee yang memilik tubuh sasa mengaku ada teman yang menasihatkan memilih jalur muzik yang lebih komersial.

"Ramai yang menasihati saya jangan memilih genre jazz dan R&B kerana pasaran di Malaysia sangat kurang.

"Tapi bagi saya, kalau buat perkara lain dan 'meletop', ia akan jadi fenomena. Contohnya, lihatlah ibu saya yang memilih genre tradisional dan irama Malaysia," katanya.

Ditanya dakwaan kononnya menumpang populariti Noraniza, Fee berkata, dia menganggap perkara itu suatu kelebihan.

"Saya ambil perkara itu sebagai kelebihan yang saya ada. Mengapa tidak, saya beroleh ilmu daripada ibu secara percuma.

"Saya tidak perlu malu kerana ada orang yang paling dekat dalam diri saya untuk mengajar selok-belok di dalam industri hiburan ini," katanya.

14 dibaca
Berita Harian X