Jumaat, 17 November 2017 | 9:46pm

Izara sah bergelar isteri Adib

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Izara Aishah, 25, sah bergelar isteri kepada Muhammad Adib Khalid, 27, yang juga anak tiri penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dengan sekali lafaz tepat jam 9 malam ini.

Menerusi kenyataan media yang dikirimkan kepada BH Online, pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor, Ustaz Mohd Jazlan Ali.

Pada majlis yang diadakan di Damansara itu, Izara menerima mas kahwin sebanyak RM700 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh. Wang hantaran pula dirahsiakan.

Majlis itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak, rakan artis dan sahabat handai.

Izara atau nama penuhnya Nik Izara Aishah Nik Izazurin meluahkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang selama tiga bulan itu berjalan lancar.

"Alhamdulillah, sempurna sudah majlis pernikahan. Sejujurnya, saya sangat gementar sebelum acara bermula. Namun, apabila Adib selesai melafazkan akad nikah, baru saya berasa lega.


AKTRES Izara Aishah sah bergelar isteri kepada Adib Khalid dengan sekali lafaz.

"Apa yang pasti, kini bermula tanggungjawab baharu saya sebagai isteri. Saya mengharapkan semoga rumah tangga yang dibina ini berkekalan hingga ke syurga dan berlangsung dengan sebaiknya. Doakan yang terbaik buat kami," katanya.

Terdahulu, pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu selepas tiga tahun menyulam cinta.

Pasangan mempelai turut diraikan dalam majlis resepsi oleh pihak keluarga perempuan selepas acara akad nikah.

Majlis yang mendapat sentuhan daripada perancang perkahwinan GlamWeddings itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Marsha Milan dan Kilafairy.

Pada acara berkenaan, bintang J Revolusi itu menggayakan busana hasil sentuhan pereka terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, manakala wajahnya disolek oleh Khir Khalid. Adib pula memilih persalinan baju Melayu rekaan Datuk Radzuan Radziwill.

Antara rakan artis yang hadir pada majlis terbabit ialah Scha Alyahya, Awal Ashaari, Osman Ali, Ghaz Abu Bakar, Azira Shafinaz dan ramai lagi.

Sementara itu, majlis berinai Izara, semalam, menjadi perhatian netizen dengan rata-rata memuji kecantikannya yang diibaratkan seperti bintang Bollywood.

Izara kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Shanel Harun dan disempurnakan lagi dengan solekan Syed Faizal Noh.

Majlis itu yang diadakan secara tertutup dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua pasangan. Siti Nurhaliza turut hadir dan membuat persembahan bagi memeriahkan acara.

Berita Harian X