Ahad, 12 November 2017 | 8:43pm
PELAKON, Nad Zainal. - Foto Aziah Azmee
NAD pernah merangkul trofi Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Nad Zainal ketika pelancaran Audela Maison De Couture di Denai Alam, Shah Alam. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Nad Zainal pada sidang media Anugerah Skrin (ASK) 17 di sebuah hotel terkemuka. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Nad Zainal tak kemaruk barang berjenama

KUALA LUMPUR: Berbeza dengan kebanyakan artis lain yang suka bermegah dengan barang berjenama, bintang yang pernah merangkul trofi Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Nad Zainal, lebih suka hidup sederhana.

Selepas sedekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Nad mengakui selesa dengan kehidupan sekarang.

Katanya, dia lebih mengutamakan keperluan berbanding memenuhi kehendak diri yang kadang-kala didorong nafsu semata-mata.

"Saya mengaku jenis yang beringat. Mungkin ada orang lain suka mengejar dan membeli barang berjenama, saya pula mesti pastikan barang yang lebih penting diutamakan. Ini termasuk membeli aset.

"Insya-Allah selepas rumah, saya mengidam membeli kereta mewah pula. Dengan gabungan rezeki berlakon dan berniaga, dapatlah saya meningkatkan taraf hidup," katanya.

Bijak merebut peluang hingga mengasaskan produk kecantikan sendiri atas jenama, Audella, ibu kepada Fahad Ibrahim berusia setahun ini, mampu mengumpul aset termasuk membeli kediaman mewah.


PELAKON, Nad Zainal. - Foto Aziah Azmee

Rumah jenis kondominium di Taman Melawati, tidak jauh dari ibu negara itu didiami Nad bersama suami, Faliq Amirudin yang juga pengurusnya.

"Alhamdulillah, akhirnya tercapai impian memiliki rumah sendiri. Selama ini, saya hanya menyewa rumah.

"Proses pembelian dibuat sejak awal tahun ini. Apabila dapat membeli dan mendiami rumah sendiri, rasanya lain. Walaupun hanya mampu membeli rumah pada usia 27 tahun, ia menjadi kebanggaan peribadi buat saya," katanya kepada BH Plus.

Teruja bercerita mengenai kediaman baharunya, Nad berkata, dia membuat sedikit pengubahsuaian sebelum berpindah.

"Jika ikutkan hati, saya mahu rumah pertama di atas tanah. Tapi tak mengapa, mana tahu selepas ini mungkin saya boleh beli rumah kedua pula.

"Alhamdulillah, rumah ini cukup selesa untuk kami tiga beranak dan boleh menjadi tempat berlindung," katanya yang akan muncul dengan drama Jurnal Suraya berganding dengan Johan As'ari, tidak lama lagi di TV3.

Takkan berhenti berlakon


NAD pernah merangkul trofi Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014. - Foto Aziah Azmee

Berkat menyimpan duit selain rezeki berniaga, Nad atau nama penuhnya, Farah Nadia Zainal Abidin membuktikan dirinya bijak mengatur kewangan.

Namun, bagi Nad, biarpun perniagaannya nampak berkembang, ia bukanlah jaminan untuk dia meninggalkan dunia lakonan.

"Bidang lakonan terus menjadi bidang nombor satu. Dengan pengaruh dalam dunia seni, saya dapat mempromosikan perniagaan. Ia bagai bertimbal balik dan menjadi batu loncatan," katanya.

Nad berkata, selepas melahirkan Fahad, Oktober tahun lalu, dia tidak mengambil tawaran berlakon.

"Ketika itu, perniagaan yang menyokong hidup saya. Dalam keadaan sekarang, kita perlu ada sandaran atau sumber lain untuk membantu kita meneruskan survival hidup," katanya.

Pelbagaikan produk


PELAKON, Nad Zainal ketika pelancaran Audela Maison De Couture di Denai Alam, Shah Alam. - Foto Aziah Azmee

Selepas berkahwin dengan Faliq pada 8 Disember 2015 dan seiring peningkatan usia, perspektif Nad terhadap hidup serta dunia seni berubah.

"Dulu, saya tak saya nafikan masuk ke dunia seni untuk berseronok dan glamor saja. Tapi apabila meningkat dewasa apatah lagi dengan status isteri dan ibu dengan macam-macam nak difikirkan, kita akan berubah.

"Hendak bergantung hidup kepada dunia seni semata-mata pun boleh. Tapi apabila memikirkan masa depan, kalau bertambah lagi anak, saya perlu fikir pelan lain. Sebab itulah saya sertai dunia perniagaan.

"Saya juga menyimpan impian tinggi hendak menjadi pengarah dan memiliki syarikat produksi sendiri," katanya.

Mengenai dunia perniagaan, Nad bakal melancarkan produk selain barangan pencerah kulit, mengurangkan berat badan dan detoks yang dijual sekarang.

"Tidak lama lagi, saya akan pasarkan produk penjagaan kulit secara organik dan minuman kesihatan. Saya mengalu-alukan pelajar untuk menceburi perniagaan tanpa mengeluarkan modal," katanya.


PELAKON, Nad Zainal pada sidang media Anugerah Skrin (ASK) 17 di sebuah hotel terkemuka. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

INFO

* Berkahwin dengan Faliq Amirudin pada 8 Disember 2015.

* Melahirkan anak sulung, Fahad Ibrahim pada 14 Oktober 2016 melalui pembedahan.

* Antara filem lakonan Jidin Sengal, Kami Histeria, Juvana 2, Juvana 3 dan Aku Haus Darah Mu

* Antara drama lakonan Antidot, Destinasi G4, Street Vendetta, Merah Gaun Pengantin, Diam-Diam Rindu, Puteri Labu dan Gondola Cinta Di Venice.

Berita Harian X