Khamis, 9 November 2017 | 1:27pm
KUMPULAN Elite. - Foto Faiz Anuar

'Tawar rakam lagu, tapi harga tak masuk akal'

KUALA LUMPUR: Hasrat kumpulan penyanyi wanita popular era 1990-an, Elite membuat kemunculan semula terbantut berikutan tawaran daripada penerbit lagu yang tidak munasabah.

Elite yang meledak dengan lagu seperti Trauma dan Tamparan Wanita, mengaku pernah didatangi seorang penerbit yang menawarkan tiga lagu baharu untuk dirakam, beberapa bulan lalu.

Namun, jurucakap kumpulan itu, Sasha memberitahu, harga bagi setiap lagu disifatkan oleh mereka sebagai 'tak masuk akal'.

"Bayangkan, harga yang kami perlu bayar untuk setiap lagu tak logik. Kalau boleh, kami mahu bekerja dengan penerbit yang pernah membantu Elite.

"Sudah tentu kami tidak mahu membuat 'come back' (kemunculan semula) yang seolah-olah melepaskan batuk di tangga saja. Alang-alang buat, biarlah betul dan meninggalkan impak.

"Semuanya perlu dirancang rapi dan sudah tentu kita perlukan tajaan untuk membuat 'come back'," katanya kepada BH Online.

Selain Sasha, Elite pernah dianggotai Linda Rafar, Watie Sadali, Azza dan Abby Abadi pada era kegemilangan mereka.

Sasha berkata, dia sedar bukan mudah merealisasikan hasrat bergabung semula dan merakamkan lagu baharu.

"Sampai hari ini, kami masih terima permintaan peminat untuk aktif semula.

"Bayangkan, anak-anak peminat kami juga tahu kewujudan Elite. Pengikut kami bukan saja di Malaysia malah sampai di Brunei, Singapura dan Indonesia.

"Jadi, kalau projek bergabung dan aktif semula menjadi, kami mahu adakan siri jelajah. Cita-cita kami besar tapi tak salah untuk menyimpan keinginan begitu," katanya.

Sasha berkata, andai cadangan untuk aktif semula tercapai, Elite akan hanya dianggotai Azza, Linda, Watie dan dirinya sendiri.

"Abby dari awal lagi menolak untuk menyertai kami jika projek ini menjadi kenyataan," katanya.

Kali terakhir Elite berkongsi pentas adalah pada majlis persandingan semula Abby dan suaminya, termasuk bekas suami, Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Putrajaya, baru-baru ini.

Rakaman persembahan spontan mereka itu tersebar di laman sosial dan diperkatakan peminat.

Mengenai detik manis itu, Sasha berkata:

"Pada majlis itu, Abby hanya berdiri di pentas dan tak mahu menyanyi. Kami semua hormati keputusannya.

"Sebenarnya, sampai hari ini kami diundang membuat persembahan bersama atau secara solo. Namun, dengan status masing-masing yang sudah berkeluarga, pasti ada halangan. Maklumlah, komitmen sudah lain," katanya yang berstatus ibu tunggal.

Mengenai kehidupannya, Sasha berkata; "Saya masih terima tawaran sikit-sikit. Saya jenis tak berkira, kerja amal pun saya buat.

"Anak saya, Adam Aryasenna Notosoemarsono sudah belajar di tahun dua. Ibu saya banyak membantu anak dalam pelajaran hingga pernah menjadi 10 pelajar terbaik di sekolah," katanya.

59 dibaca
Berita Harian X