Ahad, 29 Oktober 2017 | 4:19pm
SYAFIQ kyle dan hannah delisha bakal muncul dengan filem langsuir arahan Osman ali tahun depan.

Komen netizen guris hati Hannah - Syafiq Kyle

KUALA LUMPUR: Keserasian Syafiq Kyle dan pasangannya dalam drama Mencintaimu Mr Photograher, Hannah Delisha menarik perhatian netizen hingga timbul permintaan agar mereka bercinta dalam dunia realiti.

Lebih hangat, Syafiq dan Hannah digandingkan sekali lagi dalam projek filem Langsuir arahan Osman Ali yang menjalani pembikinan di Langkawi, Kedah. Ini menguatkan lagi 'desakan' agar mereka menjadi pasangan kekasih.

Syafiq memberitahu, dia gembira peminat 'nampak' keserasian antara dirinya dan Hannah ketika berlakon.


SYAFIQ kyle memegang watak Azlan dalam filem Langsuir.

"Saya sedar, pada suatu tahap, ada peminat mahu saya dan Hannah bercinta. Mereka nak tengok apa yang ditonton menjadi realiti.

"Dalam hal ini, kami tidak boleh buat apa-apa lebih-lebih lagi dalam merealisasikan imaginasi peminat... Ini di luar kawalan.

"Baik saya mahupun Hannah, kami tak mahu larut dengan permintaan itu," katanya kepada BH Online.

Teruja menyaksikan Syafiq dan Hannah dipertemukan sekali lagi, tanda pagar #lansuri dicipta netizen bagi melambangkan watak Azlan dan Suri yang dilakonkan mereka dalam filem Langsuir.

Syafiq berkata, dia tahu ada peminat bergaduh berpunca daripada imaginasi mahu melihat dirinya dan Hannah berkasih.

"Selalunya, pihak pengurusan akan memantau komen peminat. Saya juga menutup ruangan komen supaya ia tidak melarat.

"Bukan apa, ada komen dilayangkan membuatkan Hannah dan ibunya berkecil hati... Situasi ini tak elok. Tapi nak marah mereka pun... ada yang masih muda," katanya.

Syafiq berharap peminat bersikap terbuka melihat dirinya dan Hannah berganding dengan pelakon lain.

"Saya bimbang kalau peminat terus mahu saya terus berganding dengan Hannah. Saya pernah melihat senario sama terjadi kepada pelakon lain.

"Bagi saya, ruang untuk berganding dengan pelakon lain sentiasa terbuka. Sesiapapun boleh menjadi teman lakon kami. Saya juga mahu terus mencuba karakter baharu dan bukannya watak romantik saja," katanya.

120 dibaca
Berita Harian X