Jumaat, 27 Oktober 2017 | 5:34pm
Rozita Che Wan dan suami, Zain Saidin (kiri) . - Foto Munira Abdul Ghani

Zain teruja jika Che Ta hamil

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zain Saidin, mengaku beliau menjadi insan paling gembira jika isterinya, Rozita Che Wan, benar-benar hamil seperti digembar-gemburkan.

Malahan, beliau secara peribadi memang mahu mendapatkan adik untuk anaknya, Aaisyah Dhia Rana.

"Namun hakikatnya, dia tidak hamil pun. Begitupun, semua ini tak mustahil. Jika ada rezeki, insya-Allah, kami akan ada anak lagi. Pastinya doa orang ramai yang mahu lihat isteri saya hamil akan dimakbulkan," katanya.

Zain, 33, mengakui beliau juga bersependapat dengan isterinya, iaitu amat mementingkan soal kualiti berbanding jumlah anak yang ramai.

"Saya lihat, dia memang mahu memberikan yang terbaik untuk anaknya, termasuk dalam soal pendidikan," katanya.

Zain yang baru saja selesai menjalani penggambaran drama, Kelip Kelip Kota London, berazam untuk meluangkan lebih banyak waktu berkualiti bersama keluarga.

Terdahulu, Rozita atau Che Ta, 44, menafikan dirinya hamil selepas timbul usikan daripada teman rapat ketika menjalani sesi fotografi koleksi pengantin bersama jenama Minaz, baru-baru ini.

Berita Harian X