Rabu, 25 Oktober 2017 | 3:22pm
PENYANYI dan pelakon, Ezlynn Ariffin, kini menguruskan sendiri kerjaya seni.

Ezlynn cari kebahagiaan sejati

KUALA LUMPUR: Selepas disahkan bercerai dengan bekas suami, Adam Fahmy Shamsudin, kelmarin, tiada apa yang diharapkan oleh Ezlynn selain kebahagiaan sebenar buat dirinya sendiri.

Penyanyi Hi Hi Bye Bye itu juga turut memanjatkan kesyukuran apabila doanya supaya segala-gala selesai dengan baik dimakbulkan Tuhan.

"Alhamdulillah, doa saya dan mereka dimakbulkan. Kini, saya berasa amat lega dan mahu pandang ke hadapan serta terus fokus kepada kerjaya.

"Tiada apa yang saya harapkan lagi selain kebahagiaan diri sendiri," katanya kepada BH Online.

Adam melafazkan cerai terhadap Ezlynn atau nama penuhnya Azline Ariffin, 36, di hadapan Hakim Syarie, Noorbyetty Nasir, pada jam 10.30 pagi, 23 Oktober lalu.

Terdahulu, Noorbyetty turut menasihatkan pasangan itu bermaaf-maafan antara satu sama lain sebelum lafaz cerai dilafazkan Adam Fahmy.

Menurut Ezlynn yang turut dikenali sebagai pelakon, selain hubungan peribadi, ikatan profesional antara mereka juga sudah terputus.

Katanya, selepas ini beliau akan menyusun sendiri perjalanan kerjaya seninya.

"Saya akan berdikari, selain mendapat khidmat nasihat mereka yang lebih berpengalaman, termasuk daripada pihak Indigital Music," katanya.

Ezlynn memfailkan permohonan cerai pada 7 April lalu, mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur 1984, iaitu perceraian secara baik.

Antara alasan permohonan cerai itu termasuklah tiada lagi persefahaman dan kasih sayang dalam rumah tangga yang dibina sejak 20 November 2011.

Menerusi perkahwinan yang bertahan selama enam tahun itu, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

87 dibaca
Berita Harian X