Isnin, 23 Oktober 2017 | 12:02am
ROZITA Che Wan bersama suami, Zain Saidin dan anak mereka, Aaisyah Dhia Rana. - Foto Aziah Azmee
YANA Samsudin bersama suami, Fadzil Zahari bersama anak mereka, Aisy Mateen. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
AAISYAH Dhia Rana. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Anak artis jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Di Malaysia, siapa tidak kenal Lara Alana, Aaisyah Dhia Rana, Yusuf Iskandar dan Aisy Mateen? Walaupun masih kecil, kanak-kanak ini mempunyai kelompok pengikut di laman sosial yang mencecah jutaan orang.

Meraih tempias populariti daripada ibu bapa yang terbabit dalam industri hiburan, tidak keterlaluan dikatakan, ada antara anak-anak selebriti terbabit lebih dikenali berbanding ibu bapa sendiri.

Malah, jika dilihat dari sudut positif, kemasyhuran diraih pada usia muda ini menarik syarikat atau pengeluar jenama terkenal melantik mereka sebagai duta atau jurucakap produk.

Bukan itu saja, melihat kelebihan dimiliki si kecil, stesen televisyen (TV) berebut memaparkan aksi si comel yang keletah dalam program terbitan masing-masing.

Sudah pasti, secara tidak langsung pendapatan yang diraih daripada pelbagai sumber, antara lain boleh disalurkan ke dalam tabung pendidikan untuk digunakan kanak-kanak terbabit pada masa depan.

Tidak hairanlah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan ada pasangan artis sudah membuka fail cukai pendapatan untuk anak mereka yang mempunyai pendapatan sendiri.

Ini membuktikan bayaran diterima anak sekecil di bawah usia enam tahun itu setanding selebriti dewasa. Ia juga menunjukkan sikap bertanggung jawab ibu bapa atau penjaga terhadap kewajipan membayar cukai.

Pengikut Lara hampir tiga juta orang

Melihat senarai di media sosial, paling ramai pengikut di laman Instagram (IG) adalah Lara, iaitu anak perempuan pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari. Sehingga hari ini, Lara mempunyai 2.9 juta pengikut.

Ini disusuli anak lelaki kesayangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, Yusuf Iskandar seramai 1.8 juta orang.

Menduduki tempat ketiga, puteri tercinta pasangan Rozita Che Wan dan Zain Saidin iaitu Aaisyah Dhia Rana. Aaisyah yang comel dan suka melaram, mempunyai 712,000 pengikut.

Seterusnya, anak lelaki Yana Samsudin dan Fadzil Zahari yang diberi nama Aisy Mateen. Mateen setakat ini mengumpul 285,000 pengikut.

Anak pelakon Wan Raja bersama Yaya Maembong, Seri Aileen Marissa yang baru mencecah usia setahun enam bulan pula mempunyai 264,000 pengikut. Ini diekori rapat bayi pasangan Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, Sheriv Samheizy yang menarik 225,000 pengikut dalam tempoh empat bulan IG diaktifkan.

Selain nama yang dinyatakan, ada ramai lagi si comel yang menarik perhatian netizen. Namun, ibu bapa kanak-kanak terbabit hanya berkongsi gambar permata hati mereka pada laman sosial sendiri.

Antara kanak-kanak itu adalah anak penyanyi Tomok, Aarianshah Akid dan Andrashah Iman yang tampil dalam program realiti sendiri. Selain itu, si kembar comel, Karl Kareef dan Arianna Aubrey iaitu cahaya mata pelakon, Eina Azman.

Tidak ketinggalan, Putri Raysha Jemaima dan Putra Rayfal Ramli, iaitu permata hati aktres, Fasha Sandha yang sentiasa dinantikan kemunculan mereka di IG milik si ibu.

Selain itu, Dealova Heyrinna, 4, dan Aurora Heyrinna, setahun lima bulan iaitu anak pelakon, Faezah Elai. Biarpun kurang didedahkan dalam media sosial, mereka tetap memancing tumpuan netizen.

Che Ta simpan hasil untuk Aaisyah

ROZITA Che Wan bersama suami, Zain Saidin dan anak mereka, Aaisyah Dhia Rana. - Foto Aziah Azmee

Menemui Rozita Che Wan, pelakon, pengacara dan usahawan popular ini menjelaskan, tidak wujud istilah 'menjual' anak apabila mendedahkan puteri comelnya, Aaisyah Dhia Rana ke dunia komersial dan glamor.

Bahkan, kelibat Aaisyah pernah ditampilkan dalam drama terbitan Zeel Production yang turut dibintangi Che Ta. Selain itu, Aaisyah juga pernah muncul dengan program realiti berjudul Little Princess Aaisyah terbitan Astro.

"Saya percaya ia berbalik kepada soal rezeki. Apa saja keuntungan yang diraih Aaisyah adalah untuk simpanan hari mendatang.

"Sekurang-kurangnya, apabila sudah dewasa, dia boleh gunakan wang itu untuk manfaat masa depan termasuk dalam soal pendidikan. Tak timbul soal saya nak 'jual anak' pun.

"Tak tergamaklah saya nak makan duit hasil keuntungan anak sendiri. Saya percaya dalam soal ini, perhatian itu jadi lebih besar kerana ibu bapanya bergelar artis dan dikenali. Tempias itu pasti ada," katanya kepada BH Plus.

Menurut isteri Zain Saidin ini, pendedahan yang diterima Aaisyah masih terkawal termasuk dalam media sosial.

"Menerusi Instagram miliknya, saya memang banyak berkongsi pelbagai perkara yang disukainya. Ia jadi medium perantara buat Aaisyah dan mereka yang meminatinya.

"Macam sekarang, dia memang suka bersolek dan menyanyi. Tapi apa yang sukar, dia tak gemar aktiviti sebegitu dirakamkan. Jadi, kalau nak rakam, kena ambil secara 'curi-curi'," katanya.

Banyak tawaran jadi duta

AAISYAH Dhia Rana. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Akui Che Ta, Aaisyah kadang-kala mempunyai tingkah laku seperti gadis 20 tahun.

"Dia tak seperti kanak-kanak seusianya dan bijak. Kalau Aaisyah bersama dengan orang yang dia kenal dan sudah biasa, lagaknya bercakap memang macam orang yang sudah matang, seperti orang tua.

"Tapi kalau dengan orang yang dia tak kenal atau di depan khalayak ramai, dia agak pendiam. Saya pun jarang bawa Aaisyah ke acara tertentu. Jadi, memang anak saya ambil masa untuk mesra.

"Cuma, kalau ada yang pandai ambil hati dengan 'mengumpan' Aaisyah itu dan ini, misalnya, memberinya makanan atau alat solek, dia barangkali boleh jadi mesra," katanya.

Che Ta berkata, sejak dilahirkan, banyak pihak yang mahu melantik Aaisyah menjadi duta.

"Tapi dalam soal ini, saya tak boleh rambang mata. Saya kena selektif untuk menimbangkannya termasuk soal bayaran. Saya tidak boleh main ambil saja, sebaliknya perlu teliti banyak perkara.

"Saya menitikberatkan soal komitmen produk, jadual kerja saya dan bayaran. Jika semuanya okay, saya anggap ia rezeki anak saya," katanya.

Mengenai kecenderungan anaknya untuk mengikuti jejak menjadi selebriti, Che Ta menganggap ia masih terlalu awal untuk diperkatakan.

"Soal masa depan tidak boleh diramal. Ketika masih kecil ini, saya tidak kisahlah andai dia menjadi model iklan. Tapi apabila sudah dewasa nanti, saya mengharapkan yang terbaik untuk Aaisyah," katanya.

Pakej dengan keluarga

YANA Samsudin bersama suami, Fadzil Zahari bersama anak mereka, Aisy Mateen. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Bagi Yana dan suaminya, Fadzil Zahari, populariti diraih Mateen yang dilahirkan pada Julai tahun lalu, bukanlah tiket untuk membiarkan si kecil hanyut dalam kemasyhuran.

Yana berkata, apabila membabitkan kepentingan anak, dia dan suami berbincang setiap perkara termasuk setiap tawaran diterima.

"Memang kami sudah menerima pelbagai tawaran sama ada untuk produk mahu pun berlakon. Setakat ini, apa yang kami ambil adalah job yang turut membabitkan saya atau kami sekeluarga.

"Buat masa ini, Mateen belum terbabit dalam projek solo yang mendatangkan pendapatan. Walaupun IG miliknya kerap diminta membuat ulasan produk, kami rasa biarlah ia bebas iklan.

"Mateen muncul untuk mempromosikan makanan bayi keluaran tempatan, Susu Kambing Arrayan & Quinoa Com Com. Namun, bukan sendirian sebaliknya bersama saya," katanya.

Yana dan suami cukup terbuka mengenai pembabitan anak mereka dalam dunia komersil kerana semuanya berbalik kepada soal rezeki.

Info
Anak artis berpengaruh di laman sosial:

  • Anak pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Lara Alana mempunyai pengikut paling ramai iaitu 2.9 juta orang.
  • Putera kesayangan Hairul Azreen dan Hanis Zalikha iaitu Yusuf Iskandar mempunyai 1.8 juta pengikut.
  • Aaisyah Dhia Rana, permata hati Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana menduduki tempat ketiga dengan 712,000 pengikut.
  • Aisy Mateen iaitu anak Yana Samsudin dan Fadzil Zahari, merekodkan 285,000 pengikut.
  • Anak pelakon, Wan Raja bersama Yaya Maembong iaitu Seri Aileen Marissa mempunyai 264,000 pengikut biarpun baru berusia setahun enam bulan.
  • Hero kesayangan pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, Sheriv Samheizy memikat 225,000 pengikut dalam tempoh empat bulan Instagram diaktifkan.
Berita Harian X