Isnin, 9 Oktober 2017 | 6:46pm
PELAKON dan pelawak, Tauke Jambu.

Tauke tetap berlakon Kontena 404

KUALA LUMPUR: Pelawak, Tauke Jambu, akan terus menjayakan teater komedi seram, Kontena 404, terbitan DBI Entertainment demi profesionalisme walaupun berdepan teguran segelintir pihak yang mahu pementasan itu dihentikan.

Tauke atau nama penuhnya Zamratul Amri Zakaria, 41, berkata sebagai pelakon, menjadi tanggungjawab beliau melaksanakan amanah yang sudah diberikan selagi tiada halangan daripada pihak berkaitan.

"Sebagai insan seni yang mencari rezeki menerusi pementasan atau program seumpama ini, saya hanya menjalankan tugas. Orang sudah bayar dan memberi kepercayaan pada bakat kita.

"Saya memang tahu isu ini (DBI Properties), tetapi sejak awal kami sudah dimaklumkan, syarikat berkenaan tiada kaitan dengan Kontena 404. Malah, jika saya enggan teruskan, bermakna saya tidak bersikap profesional.


PENGARAH, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman (tiga dari kiri), pada sidang media teater berunsur komedi seram, Kontena 404, di Istana Budaya. Turut hadir, dari kiri, Miera Leyana, Tauke Jambu, Lyana Zulkepli, Adam Shahz dan Rani Kulup. - Foto Nik Hariff Hassan

"Bagi saya mudah saja, selagi tidak menerima apa-apa arahan atau halangan, saya tetap datang berlatih, seterusnya menunggu pementasan yang akan bermula 20 Oktober ini," katanya kepada BH Online.

Selain Tauke, teater arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman itu turut membariskan pelakon seperti Izreen Azminda, Miera Leyana, Adam AF, Adam Shahz dan Abdul Rani Kulup.

Teater yang dikatakan menelan kos sebanyak RM100,000 itu dijadualkan pementasannya di Lambang Sari, Istana Budaya, selama tiga hari.

Penahanan beberapa individu dalam kes DBI Properties turut memberi tempias kepada DBI Entertainment, memandangkan individu berkenaan juga ahli lembaga pengarah syarikat terbabit.

Ada dalam kalangan netizen membuat petisyen terbuka di laman sosial, meminta pementasan itu dibatalkan bagi memastikan sumber kewangannya dapat disahkan.

Begitupun, pengurusan Istana Budaya menegaskan, pihaknya tidak boleh membatalkan pementasan kerana penerbit memenuhi semua syarat dan prosedur ditetapkan.

Berita Harian X