Ahad, 8 Oktober 2017 | 10:56pm

Yazit buat dram sendiri

YAZIT Ahmad, 54, antara nama yang berada dalam senarai pemain dram terbaik tempatan hingga diletakkan sebaris dengan maestro perkusi Asia, Lewis Pragasam.

Beliau hanya belajar sendiri dan kemudian 'berguru' dengan pemuzik tersohor menerusi pengamatannya daripada LP atau kaset band terkenal, dari dalam serta luar negara.

Cinta mendalam terhadap dram membawa Yazit meneroka dunia hiburan di kelab malam, malah pada awal pembabitan, beliau pernah bermain dengan dua band secara berturut-turut selama setahun.

Andai dihitung pembabitannya di arena ini, pengasas kumpulan rock legenda, Search, itu sudah mengabdikan hampir seluruh kehidupannya kepada dram dan muzik.

Bersih studio balas budi

Mula mengetuk dram seawal usia 15 tahun, studio tempat kawannya bekerja di Johor Bahru menjadi tempat beliau belajar bermain alat muzik itu secara percuma, namun jasa tuan punya kedai dibalas dengan membersihkan premis terbabit.

"Dulu saya bekerja di kilang papan lapis di Singapura dari jam 6 pagi hingga 3 petang. Sebelum balik rumah, saya suka melepak tengok orang 'jamming' di studio tempat kawan saya bekerja.

"Waktu itu, gaji tak sebanyak mana. Semua duit saya serahkan kepada mak sebab adik-beradik ramai, 10 orang. Jadi, ketika studio kosong saya minta izin belajar main dram.

"Walaupun tidak dikenakan bayaran, saya tolong menyapu dan bersihkan studio sebagai tanda terima kasih. Itu saja yang saya mampu lakukan," kata anak pesara askar terbabit mengimbas nostalgia lalu.


PEMAIN dram, Yazit Ahmad. - Foto Amirudin Sahib

Tak mampu beli album

Sebagai anak keempat dan lelaki sulung dalam keluarga, beliau cuma bersekolah setakat tingkatan tiga demi membantu ibu bapanya mencari rezeki untuk membesarkan adik-adik.

Pekerjaan pertama di kilang lilin di Johor Bahru dilakukan hanya beberapa bulan, namun pelawaan abang ipar untuk mendapatkan imbuhan lebih besar di Kota Singa semakin membuka matanya mengenai dunia muzik.

Ketika itu, sudah ada beberapa kumpulan yang membina nama dalam arus muzik perdana termasuk Unwanted, Rusty Blade, Black Dog Bone dan kumpulan yang menjadi idolanya, Sweet Charity.

Tidak mampu membeli LP membuatkan Yazit hanya curi-curi dengar lagu di studio ketika orang lain 'jamming' atau berdiri di luar kedai muzik seterusnya mencuba 'stroke' yang didengari.

Malah, demi minat mendalam, beliau membuat dram sendiri di rumah dengan bahan sedia ada seperti kotak dan tin, manakala tiub getah dilekat di kerusi untuk dijadikan 'paddle'.

"Saya cuma mampu beli 'drumstick' saja, selebihnya cari bahan sedia ada. Di rumah, saya berlatih ketuk dram depan adik-adik. Memang bising, maklumlah rumah kecil satu bilik yang asalnya stor milik bandaraya. Ada 12 penghuni termasuk bapa dan mak.

"Sebab sudah biasa hidup susah, saya tak kisah pun guna apa saja barang. Janji dapat berlatih. Sambil itu, saya ambil juga upah angkut barang memandangkan rumah kami memang dalam kawasan pasar.

"Apabila dapat peluang ketuk dram sebenar di studio tempat kawan saya kerja, memang saya seronok. Apabila tiada orang masuk, saya berlatih sungguh-sungguh.

"Ketika itu pemain dram Heavy Machine, Tajudin, selalu 'jamming' di tempat sama. Saya banyak bertanya pasal ilmu dram. Rasanya dalam tempoh tiga bulan saja saya sudah boleh main pelbagai rentak," katanya yang ketika itu sudah berkawan rapat dengan Hillary Ang.


YAZIT Ahmad bersama isteri, Ramlah Ahmad. - Foto Amirudin Sahib

Jatuh cinta dengan kumpulan rock Kanada

Daripada pemain gitar terbabit, beliau diperkenalkan dengan kumpulan progresif rock Kanada, Rush, sekali gus membuatkannya 'jatuh cinta' dengan pukulan dram Neil Peart.

"Saya kenal muzik mereka daripada kaset. Air mata menitik ketika mendengar ketukan Peart dalam album Moving Pictures. Rakaman itu dikirim abang Hillary di Kanada. Sudahnya, saya kerap berulang-alik ke rumah Hillary semata-mata ingin menikmati lagu mereka.

"Saya dengar, saya belajar. Mahu beli sendiri tiada duit. Sampai bergulung pita kaset itu sebab terlampau kerap diulang. Masa itu Peart jadi idola saya. Banyak album mereka dijadikan rujukan," katanya yang kemudian diajak pengasas kumpulan Ella & The Boys, Lord, menyertai sebuah band kelab.

Pinjam baju kotor

Kongsi anak jati Johor itu, Lord yang singgah di studio berkenaan bertanya sama ada beliau mahu datang ke uji bakat untuk kugiran bernama Wash & Wax di pusat hiburan berhampiran.

Katanya, pada petang itu juga beliau memberanikan diri mencuba nasib di sebuah hotel dan diminta untuk datang ke pusat hiburan di lokasi sama pada sebelah malamnya.

"Saya masih ingat ketika uji bakat, mereka tanya sudah berapa tahun main dram dan 'rhythm' yang saya boleh bawa. Saya cakap jujur, baru tiga bulan, manakala 'rhythm' pula rojak. Cuma saya kata saya minat rock.

"Selepas tunjuk skil, mereka terus ajak saya datang malam itu. Malam pertama kerja di Kelab Macinta, saya perlu pakai baju tiga lapis - kemeja, vest dan seluar 'slack'. Saya pinjam saja baju pemuzik lama yang tidak berbasuh.

"Bermula dari situ saya kekal di Macinta. Tidak lama kemudian, sebuah lagi band residen di kelab sama meminta saya menggantikan pemain dram mereka dengan gaji RM1,100 iaitu lebih RM200 berbanding kumpulan saya.

"Selepas fikir panjang dan berbincang dengan anggota lain. Saya jadi pemuzik ganti, tetapi penat sikit sebab tiada rehat. Saya terpaksa berhenti kerja kilang kerana sudah dapat dua gaji dan hampir semua wang saya serahkan kepada mak.

"Wang itu yang mak gunakan sebagai modal berniaga putu piring pada sebelah pagi manakala petang dia jual goreng pisang. Dapatlah meringankan beban bapa kami yang bekerja sebagai jaga selepas pencen askar," kongsinya lagi.

Segan dengan rockers lain

Terdahulu, Yazit turut mengikuti perkembangan Sweet Charity, malah sanggup menonton persembahan sulung kumpulan itu ketika pelancaran album pertama mereka.

Ceritanya lagi, disebabkan tidak sempat menukar persalinan berminyak usai tugasan di kilang, beliau cuma melihat dari jauh persembahan band pujaannya kerana segan melihat penonton lain datang lengkap gaya 'rockers'.

"Ramai rockers Singapura turun. Pelbagai gaya boleh kita tengok sekali dengan kasut but tajam. Baju-T pula terpampang bermacam-macam kumpulan Barat yang hebat. Ada yang pakai baju Black Sabbath, Deep Purple dan banyak lagi. Saya cuma pakai kemeja kotak-kotak merah. Itu pun penuh dengan minyak.

"Apa pun saya puas hati dapat tengok (Datuk) Abang Ramli Sarip. Dahsyat vokal dia. Rosli Mohalim dan yang lain rambut panjang manakala Rahman (pemain dram) saja berambut afro. Saya pun suka dengan 'permainan' Rahman.

"Sewaktu kerap ulang-alik ke studio dan kemudian kerja sambilan dengan promoter persembahan, saya mula kenal ramai pemuzik lain seperti Rusty Blade yang digelar Iron Maiden Singapura dan Jatt daripada Black Dog Bone. Mereka semua baik-baik," katanya.


AKTIVITI harian Yazit Ahmad dan isteri, Ramlah Ahmad ketika ditemui di kediaman mereka di Setapak. - Foto Amirudin Sahib

Idea tubuh kumpulan sendiri

Yazit, yang mengambil upah dengan syarikat promoter Bulan Mengambang ketika itu, memaklumkan banyak tips dikongsi pemuzik lain yang sudah memasuki industri hiburan arus perdana.

Menariknya, kata Yazit, selain menolong memunggah dan menyusun peralatan muzik di pentas, beliau seronok apabila berpeluang merasa dulu dram untuk 'tuning' dan 'sound check'.

Dari situ juga tercetusnya idea untuk beliau, Hillary dan seorang lagi kawan baik, Zainal (Zainal Rampa) menubuhkan kumpulan yang bertunjangkan genre rock iaitu Search sekitar 1979.

Esok, Yazit menceritakan bagaimana anggota Search dihimpunkan

Berita Harian X