Khamis, 5 Oktober 2017 | 3:33pm
IPPO Hafiz, bakal mengadakan konsert lagu runut bunyi drama popular bersama beberapa artis terkemuka lain di UKM, esok.- Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Ippo Hafiz belanja besar anjur konsert OST esok

KUALA LUMPUR: Ketika banyak pihak bimbang untuk melaburkan wang bagi persembahan berskala besar, penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, memberanikan diri menganjurkan Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017.

Konsert berkenaan akan berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, pada jam 8.30 malam esok.

Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 28, berkata konsert yang membabitkan kos antara RM50,000 hingga RM100,000 itu diadakan dengan kerjasama pusat pengajian tinggi terbabit.

"Saya tahu ia kerja gila. Tanpa penaja utama, saya melaburkan wang sendiri. Namun buat masa ini, tujuan konsert berkenaan diadakan adalah demi peminat.

"Diakui, saya anjurkan konsert ini tanpa memikirkan soal untung. Asalkan dapat balik modal, saya rasa ia sudah lebih daripada mencukupi. Bab keuntungan, ia akan datang kemudian.

"Apa yang penting, saya mahu mendidik masyarakat menghargai pengkarya muzik dengan membeli tiket," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Ippo juga dalam proses mendapatkan permohonan daripada Malaysia Book Of Records berdasarkan konsert terbabit yang menampilkan lagu runut bunyi (OST) drama popular hasil ciptaan dan nyanyiannya.

Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017 menampilkan 11 penyanyi iaitu Wany Hasrita, Haqiem Rusli, Tajul, Wani, Irfan Haris, Ronnie Hussein, Syed Shamim, Deen Asimi, Fahd Ezuan dan Neon Band.

Aktres, Mira Filzah, juga akan membuat penampilan istimewa pada persembahan berkenaan.

"Secara keseluruhan, 17 lagu akan dipersembahkan. Saya yakin, lagu popular menerusi OST Suri Hati Mr Pilot, Teman Lelaki Upahan, HidayahMu dan Aku Pilih Kamu yang akan kami persembahkan nanti akan membuatkan peminat turut menyanyi bersama," katanya.

Tiket serendah RM30 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.ticketpro.com.my. Seramai 1,000 pembeli bertuah akan mendapat CD Soundtrack Ippo Hafiz secara percuma.

Seratus pembeli terawal pula akan berpeluang beramah-mesra dengan barisan artis yang menjayakan konsert berkenaan.

Berita Harian X