Sabtu, 30 September 2017 | 7:01pm
KONSERT Amelina ratu dangdut Malaysia di D'Saji KL Titiwangsa. - Foto Amirudin Sahib.

Ayat pedas tangkis komen biadap

KUALA LUMPUR: Penyanyi dangdut, Amelina ada cara tersendiri apabila berdepan sikap biadap pengikut yang gemar meluahkan kata kesat di laman sosial miliknya.

Amelina, 43, berkata dia lebih selesa menegur perbuatan pengikut terbabit menerusi mesej peribadi kerana cara itu baginya, lebih berkesan.

"Setiap kali apabila membaca komen yang ditulis, pasti ada satu atau dua pengikut yang gemar mengeluarkan kata kesat dan tidak senonoh. Selalunya, saya akan menghantar mesej peribadi untuk menegur perbuatan mereka.

"Mesej saya itu lebih terarah kepada nasihat tetapi, menggunakan ayat yang sangat tajam hingga mereka mengakui kesilapan dan meminta maaf," katanya ketika ditemui selepas menjayakan Live Showcase Amelina Ratu Dangdut Malaysia di D'Saji Titiwangsa, di sini, malam tadi.

Walaupun menyedari risiko kemungkinan teguran yang diberikannya itu bakal viral dan mencalarkan reputasinya, pemilik nama Norazlina Amir Sharipuddin ini tidak gusar dengan situasi itu.

Sebagai selebriti yang mempunyai pengaruh dan peranan tersendiri dalam masyarakat, Amelina percaya niat murninya akan disokong ramai kerana ia dilakukan tanpa mengaibkan sesiapa.

"Saya tegur untuk kebaikan mereka dan kalau ia viral sekalipun, saya tak kisah," katanya.

Terdahulu, buat pertama kali sepanjang dua dekad pembabitannya dalam dunia seni, Amelina berpeluang mengadakan showcase solo.

Persembahan yang dibahagikan kepada dua segmen itu menyaksikan ibu tunggal kepada enam cahaya mata itu menyanyikan 14 lagu termasuk lagu popularnya iaitu Rindu dan Asyik.

97 dibaca
Berita Harian X