Rabu, 27 September 2017 | 9:32pm

Anuar Zain 'pikat' peminat dengan selendang

MENGENALI Anuar Zain sebagai bintang yang selalu menjaga privasi dan berada dalam kelas tersendiri, ramai tidak menduga penyanyi Andainya Takdir ini membuat keputusan menceburi bidang perniagaan.

Selepas lebih tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Anuar dilihat sudah membina 'empayar' melalui vokal dan produk muziknya.

Siapa boleh mempertikai kehebatan Anuar dalam memastikan setiap album dirakam mendapat sentuhan terbaik, sama ada dalam aspek produksi hinggalah kepada kulit album.

Anuar juga dikenali sebagai artis yang cukup teliti atau 'fussy' (cerewet) ketika bekerja, apatah lagi jika mahu mengadakan konsert yang dirancang mengikut standard antarabangsa.

Mendekati Anuar, penyanyi berusia 47 tahun ini bercerita mengenai keputusannya terjun dalam dunia perniagaan selepas sekian lama mengecap kemasyhuran sebagai antara vokalis lelaki terbaik negara.

Mengusahakan perniagaan dalam talian, ShopbyAZ, Anuar berkongsi aspirasi dalam pelaburan terbaharunya itu.

"Selama ini, saya anggap bidang nyanyian sebagai bisnes... Benar, saya selesa begitu. Tanyalah apa pun, memang bisnes paling utama adalah menyanyi.

"Bagi saya, nyanyian ini bersifat seni. Namun, ada yang melihat seni sebagai sesuatu yang tidak terlalu serius. Bagaimanapun, saya dan pasukan pengurusan mengambil serius soal nyanyian sebagai bisnes.

"Sebagai penyanyi, saya menjual suara dan bakat. Suara saya menjadi produk yang dijual untuk menghiburkan khalayak.

"Dengan semua ini, saya peroleh bayaran untuk meneruskan kelangsungan hidup," katanya kepada BH Plus.

Namun, kata Anuar, dalam sibuk mengatur rentak dunia seni, soal perniagaan sudah lama difikirkan dalam benak hatinya.

"Dalam hati, terbit perasaan dan keinginan berniaga. Ia datang tiba-tiba. Dalam setahun lebih saya memikirkan apakah saya perlu menceburi bidang perniagaan atau tidak.

"Ditambah pula sekarang ramai artis berniaga. Jadi, kenapa saya tidak melakukan hal sama," katanya.

Dua tahun memperincikan pelan pelaburan, ShopbyAZ akhirnya dilancarkan dengan produk pertama iaitu skaf atau selendang di bawah koleksi AwanbyAZ.

Koleksi selendang tujuh rekaan itu dilancarkan awal bulan ini melalui laman sosial, termasuk Facebook dan Instagram.

Anuar melancarkan koleksi selendang selepas kali terakhir heboh dengan pembatalan Konsert Anuar Zain & You - By The Lake, yang sepatutnya berlangsung di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu.


ANUAR Zain mengusahakan perniagaan dalam talian, ShopbyAZ.

Anuar memberitahu, ketika mula merancang membuka perniagaan dalam talian, beliau cuak dan berbelah bahagi.

"Dalam hati terbit rasa, bolehkah saya berjaya atau tak jika menceburi perniagaan? Ada atau tidak orang yang akan membeli produk saya? Ini kerana selama ini, mereka tahu Anuar Zain adalah penyanyi.

"Semua ini terlintas dalam fikiran ketika bersendirian. Malah, saya pernah jadi tepu memikirkan perkara ini dalam sudut yang lebih besar," katanya.

Anuar juga mengaku pada mulanya lebih selesa mempromosikan perniagaan tanpa dibayangi diri sendiri.

"Pada mulanya, saya tak mahu masyarakat tahu jenama ini diusahakan saya. Ya lah, saya jenis 'private' orangnya.

"Namun, apabila semua dilakukan secara teratur dan saya berpuas hati dengan semua aspek, barulah saya terbuka untuk menghebahkan bahawa ini adalah perniagaan saya," katanya.

Anuar berkata, seminggu sebelum dilancarkan, pengurusannya menggunakan medium laman sosial Anuar Zain Network untuk memperkenalkan perniagaan itu disusuli dengan repost pada akaun nstagram @shopbyaz.

Berkongsi impian masa depan, Anuar berkata, beliau mahu menjadikan ShopbyAz sebagai portal beli-belah seperti Ladaza atau Zalora.

"Kami akan buka peluang kepada orang lain, termasuk kawan saya jika berminat menjual barangan di bawah ShopbyAz. Kita juga akan menawarkan produk lain selepas ini selain skaf," katanya.

Bagi menambah keyakinan dalam membuat keputusan berniaga, Anuar memberitahu, beliau banyak bertanya teman-teman.


PENYANYI, Anuar Zain - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

"Namun, ada yang bersifat negatif tetapi bukan bermaksud menghalang, sebaliknya mereka berpendapat sudah ramai artis berniaga tudung atau skaf.

"Akhirnya, selepas ditimbang dengan pasukan saya, termasuk pengurus, kami nekad pandang ke depan. Kami bersetuju memulakan perniagaan ini," katanya,

Tambah Anuar, kejayaan artis dalam dunia perniagaan memberi suntikan semangat buatnya menjadi usahawan.

"Kejayaan mereka membuka mata saya. Sokongan kawan yang rata-rata amat positif menjadi perangsang untuk kami membuktikan projek ini boleh berjaya," katanya.

Ditanya mengapa skaf atau selendang menjadi produk pertamanya, Anuar berkata: "Keputusan ini berkait soal potensi yang luas untuk pasaran Muslimah. Kami percaya skaf atau selendang boleh digayakan mereka yang bukan Islam, termasuk lelaki.

"Penggunaan skaf ini boleh disuai padan atau digayakan dengan cara kreatif. Skaf boleh dililit di leher, menjadi pareo, selit pada beg dan menjadi aksesori mengikut kreativiti masing-masing," katanya.

Biarpun rancak dengan dunia perniagaan, tidak bererti dunia nyanyian dibiarkan sepi begitu saja.

Anuar berkata, tahun ini, tumpuan bagaimanapun lebih terarah kepada perniagaan.


ShopbyAZ

"Tapi menyanyi tetap nyanyi. Saya tak tolak undangan membuat persembahan... Ia dilakukan seperti biasa.

"Namun, saya kena menimba banyak pengalaman untuk mengukuhkan perniagaan. Maklum balas pelanggan yang positif amat saya alu-alukan untuk memperbaiki kelemahan.

"Insya-Allah tahun depan, dunia muzik dan perniagaan akan seiring. Saya juga sedang merencana sesuatu yang besar untuk kerjaya seni. Ia akan diumumkan apabila semuanya sudah pasti," katanya.

Anuar berkata, keputusan memperlahankan rentak seni bagi memberi tumpuan kepada perniagaan membawa rahmat tersendiri.

"Allah Maha Besar... Ibu saya baru baru menjalani pembedahan pada kedua-dua belah lututnya. Saya dapat menghabiskan masa bersama ibu.

"Saya dapat berehat dengan insan tersayang. Pendek kata, ia menjadi tempoh saya bertenang," katanya.


ANTARA koleksi selendang ShopbyAZ.

Info

  • Berusia 47 tahun, Anuar adalah adik kepada penyanyi terkenal, Ziana Zain.
  • Selepas lima tahun tidak muncul dengan album baharu, Anuar mengubat rindu peminat dengan album studio kelima berjudul Anuar Zain, yang dilancarkan, September tahun lalu.
  • Lagu Andainya Takdir menjadi single pertama album itu.
  • Koleksi lagu popular Anuar, antaranya Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu, Lelaki dan Sedetik Lebih.

Berita Harian X