Isnin, 25 September 2017 | 5:54pm

Memey mahu Abby bersama di pelamin


MEMEY Suhaiza (kanan) bersama Abby Abadi pada majlis meraikan ulang tahun perkahwinan di Shah Alam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Berkongsi pelamin dengan Abby Abadi dan pasangan, saat meraikan ulang tahun perkahwinan yang keenam, semalam adalah idea Memey sendiri.

Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 26, berkata beliau sendiri yang mencadangkan supaya majlis persandingannya sempena sambutan ulang tahun perkahwinan dengan Norman Hakim, diraikan bersama Abby Abadi dan pasangan, Faizal Zakaria.

"Apabila diusulkan cadangan untuk bersanding semula sempena menyambut ulang tahun perkahwinan kami, saya mahu kak Abby turut sama berada di pelamin dan dimeriahkan dengan kehadiran anak-anak, keluarga serta sahabat handai.

"Semalam, memberikan makna yang sangat besar dalam hidup saya dan detik indah ini harus dikongsikan bersama anak-anak.

"Perkara yang paling penting apabila keluarga dan anak-anak dapat memahami, selebihnya terpulang kepada mereka di luar sana.

"Apa yang baik diharap dapat dijadikan teladan dan kalau sebaliknya, jadikan ia sebagai sempadan," katanya kepada BH Online.

Memey berkongsi, keterujaan jelas terpancar pada wajah anak-anak yang turut sama mengambil bahagian dalam setiap proses bagi menjayakan majlis persandingan berkenaan.

Pada majlis yang berlangsung di Shah Alam itu, kedua-dua pasangan diarak masuk dengan diiringi bacaan selawat oleh anak sulung Norman dan Abby, Mohamed Danish Hakim, 14 tahun.


MAJLIS persandingan sempena sambutan ulang tahun perkahwinan Memey dengan Norman Hakim, yang diraikan bersama Abby Abadi dan pasangan, Faizal Zakaria. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Keluarga besar itu kelihatan sama cantik sama bergaya dengan busana sedondon rona putih rekaan Eja Shahril.

Norman, 41 dan Memey mendirikan rumah tangga pada 25 September 2011. Mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Darwish Hakim dan Muhammad Dirkhriz Hakim.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 40, pula berkahwin dengan Muhammad Faizal atau Jai Ezzany, 43, pada 14 Ogos 2015.

Bersama Abby, Norman dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish, Marissa Dania Hakim, 12 dan Maria Danisha Hakim, 9. Pasangan terbabit bercerai pada 2008.

177 dibaca
Berita Harian X