Ahad, 24 September 2017 | 1:52pm
PENERBIT eksekutif, Jason Chong dan pengarah, Eric Ong bersama para pelakon dan krew produksi meraikan kejayaan mereka pada Festival Filem Malaysia ke 29 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Asyraf Hamzah

Berbaloi keluar wang simpanan demi Adiwira Ku

KUALA LUMPUR: Pernah ditolak sebuah studio penerbitan dan hampir dijadikan drama rantaian, 'orang kuat' di sebalik pembikinan filem Adiwira Ku yang menggondol trofi Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-29, malam tadi, bersyukur karya mereka diiktiraf.

Sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri, penerbit eksekutif, Jason Chong dan pengarah, Eric Ong bagai tidak percaya karya kecil itu mencapai kejayaan di luar dugaan biarpun terpaksa menempuh ranjau dalam menghasilkannya.

Eric berkata, dia dan pasukan produksi bersyukur juri FFM29 'nampak' keikhlasan dan kejujuran mereka menghasilkan filem yang diilhamkan daripada kisah benar ini.

"Apa yang pening adalah kewibawaan pelakon yang bersungguh-sungguh menjayakannya. Misalnya, kami tahu betapa susahnya Sangeeta Krishnasamy menghidupkan watak guru Bahasa Inggeris, Cheryl Ann Fernando.

"Biarpun menghidap demam denggi, dia mampu meneruskan lakonan yang baik sehingga selesai penggambaran. Tidak lupa juga kepada anak-anak yang komited melakonkan watak pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal," katanya kepada BH Online.

Selain trofi Filem Terbaik, Adiwira Ku yang berkisar ketabahan Cheryl mendidik pelajar SMK Pinang Tunggal, turut membolot trofi Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. Ini adalah kemenangan pertama bagi syarikat produksi Sol Pictures Sdn Bhd di pentas FFM.

Eric berkata, keputusan dirinya dan Jason mengeluarkan wang simpanan biarpun bukan dalam jumlah besar, didorong keyakinannya terhadap cerita yang mahu dikongsi bersama penonton.

"Akhirnya kami dapat menunjukkan bahawa karya ringkas serba sederhana ini mampu dihargai. Bajet yang kami gunakan tidak lebih dari RM600,000," katanya.

Eric gembira banyak perubahan dilihat dalam keputusan FFM29 yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

"Sebelum ini, kita banyak lihat filem komersial diangkat pada FFM. Namun, kali ini, kita dapat lihat perubahan di mana filem kecil turut diberi peluang sama rata.

"Saya fikir kemenangan kami mungkin boleh dijadikan pencetus semangat kepada penggiat seni yang lain. Ini kerana kita tahu dalam keadaan industri perfileman sekarang ini, tak banyak produksi yang mempunyai bajet besar untuk membuat filem," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X