Jumaat, 22 September 2017 | 3:07pm
Sharifah Zarina.

Sharifah Zarina belum bersara daripada dunia muzik

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina mengaku masih cukup meminati dunia seni suara walaupun tidak lagi aktif seperti dulu.

Selepas 13 tahun menceburi arena muzik, artis berusia 36 tahun itu berkata, undangan menjayakan persembahan juga masih lagi diterimanya sehingga hari ini.

"Saya tetap sayang dan minat dunia nyanyian. Cuma, sekarang tumpuan utama sudah sedikit berubah. Kini, saya lebih fokus kepada keluarga dan perniagaan.

"Saya juga giat dalam bidang pengurusan acara, termasuk membekalkan bakat, sistem bunyi, khemah dan macam-macam lagi," katanya kepada BH Online.

Tahun lalu, beliau menamatkan kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

"Jadi, selama beberapa tahun belajar, saya memang kurang muncul di kaca TV mahupun di dada akhbar.

"Jika diikutkan, setiap dua tahun sekali pasti ada 'single' baharu saya rakamkan bagi melepaskan rindu pada dunia muzik.

Sharifah zarina kini turut menjalankan perniagaan produk menguruskan badan yang menjadikan Maria Tunku Sabri sebagai testimoni.

"Tahun ini pun, saya ada muncul dengan 'single' berjudul Seiring Gema Takbir. Menerusi lagu itu, buat julung kalinya saya tampil dengan konsep pop etnik," katanya.

Mengenai perniagaan, wanita ini mengaku bidang berkenaan bagai sudah sebati dengan dirinya.

"Sudah lama sebenarnya saya mencuba bisnes. Kalau ada masih ingat, saya pernah membuka restoran makanan Indonesia di Subang, tidak lama dulu.

"Kemudian saya juga ada berniaga tudung, diikuti pengurusan acara," katanya yang kini turut aktif mempromosikan produk pelangsingan badan, Lefactor

Sharifah Zarina berkata, beliau kini masih diuruskan suami, Buswani Abdillah yang dikahwininya sejak 19 tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Athalia Deena, 14, Ariana Deena, 9, dan Alfenriz Habeeb, 8.

Penyanyi, Sharifah Zarina pada pelancaran "Seiringan Sejalan ke Borocay" di Publika Solaris Dutamas. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Berita Harian X