Isnin, 11 September 2017 | 9:50pm
ALTIMET puas dengan pencapaian diperoleh sejak menceburi bidang muzik pada 2000.

Otai hip hop mahu tutup buku

PADA usia yang bakal menginjak empat dekad, bintang hip hop, Altimet menganggap masanya sudah tiba untuk mengundurkan diri daripada dunia nyanyian dan meneroka cabaran baharu.

Biarpun hip hop masih subur dalam hati, Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, 39, puas dengan pencapaian diperoleh sejak menceburi bidang muzik pada 2000.

Berhutang beberapa misi lagi, akui penyanyi Amboi ini, hampir semua yang disasarkan sejak mula bergelar artis sudah dipenuhi.

"Hip hop ada dalam diri saya sampai bila-bila, ...namun, setahun lagi, menjelang 2019, sudah sampai masanya untuk saya meninggalkan dunia nyanyian.

"Saya hanya mahu bergerak dan bekerja di belakang tabir serta memberi laluan kepada generasi baharu meneruskan kesinambungan muzik hip hop di Malaysia," katanya kepada BH Plus.

Diminta menjelaskan lebih lanjut mengenai hasratnya untuk bersara, bekas anggota kumpulan Teh Tarik Crew ini pada mula keberatan membuka mulut kerana bimbang disalah tafsir peminat.


RAMAI yang kata lagu rap tak boleh meletup, tapi saya sudah buktikan tiga kali mara ke pentas akhir AJL dan menang trofi, .....Altimet. - NSTP/MAHZIR MAT ISA

"Jika ikutkan, saya tidak mahu bercerita mengenai perkara ini kerana bimbang disalah tafsir orang luar.

"Saya sebenarnya ketagih cabaran dan mempunyai senarai cabaran yang mahu saya capai sejak menyertai industri hiburan.

"Alhamdulillah, hampir semua senarai itu sudah saya selesaikan. Hanya tinggal beberapa misi saja lagi sebelum saya mengambil keputusan berhenti menyanyi.

"Hakikatnya, saya mahukan cabaran baharu, ...itu alasan peribadi yang paling kuat," katanya.

Mengulas mengenai antara misi yang sudah dicapainya, Altimet memberitahu, stigma umum membabitkan paras rupa dan populariti sebagai ukuran mencipta kemasyhuran, sudah dipecahkannya.

"Saya sudah menafikan anggapan bahawa rupa paras bukanlah ukuran untuk dikenali di dalam industri, sebaliknya karya yang baik diketengahkan akan dihargai peminat.

"Selain itu, ada persepsi kononnya lagu rap tidak akan boleh 'meletup' atau popular termasuk lagu rap Melayu.


"Hakikatnya, saya mahukan cabaran baharu, ...itu alasan peribadi yang paling kuat," kata Altimet mengenai hasratnya untuk bersara. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

"Lagu rap dikatakan tidak akan mampu sampai ke peringkat majlis seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Namun, saya sudah buktikan tiga kali mara ke pentas akhir AJL dan menang trofi," katanya.

Satu lagi pencapaian Altimet adalah membuktikan lagu popular tidak semestinya berkisar kisah cinta.

"Ada orang kata, kalau nak masuk industri hiburan, kena buat lagu cinta. Alhamdulillah, saya buat lagu yang tiada elemen cinta tetapi ramai yang meminatinya hingga menjadi siulan," katanya.

Namun, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada pentas nyanyian, Altimet mahu menyelesaikan beberapa cabaran lain.

"Antara cabaran terakhir saya adalah menghasilkan album yang berupa sebuah penceritaan lengkap dari babak ke babak. Dalam erti kata mudah, album itu seperti sebuah filem tetapi dipersembahkan dalam bentuk audio.

"Produk saya ini dirancang diterbitkan tahun depan dengan prosesnya sudah bermula. Penceritaannya juga sudah disiapkan.

"Asasnya masih sama iaitu lagu dan rap. Namun, apa yang menarik, saya akan bekerjasama dengan dengan ramai penyanyi yang popular kerana bakat nyanyian mereka," katanya.


(Dari kiri); Sona One, Altimet dan Jo Flizzow membuat persembahan pada Majlis Penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. NSTP/OSMAN ADNANOSMAN ADNAN

Selepas single Amboi yang dianggap lagu sindiran masyarakat, Altimet sedang menyiapkan album terbaharu yang turut memuatkan lagu seumpama itu.

"Memang benar lagu Amboi lebih kepada sindiran sehingga orang menganggap saya mahu menyindir masyarakat.

"Namun, hakikat sebenarnya tidak. Saya terkejut apabila lagu itu diterima ramai. Apabila mendengarnya selepas siap dirakam, saya fikir ia terlalu 'pedas' untuk dipasarkan. Namun, lain pula jadinya kerana lagu itu diterima baik.

"Namun, saya tidak terlepas daripada kritikan. Ini kerana ada yang anggap lagu itu 'bodoh' kerana mengulang lirik yang sama," katanya.

Akui Altimet, lagu Amboi ditujukan kepada pendengar yang selama ini tidak memahami maksud rap.

"Lagu ini diinspirasikan kepada mereka yang tidak memahami apa itu rap. Mereka menganggap rap itu seperti orang berleter.

"Kata kunci bagi orang berleter biasanya menggunakan perkataan amboi, jadi saya ambil kritikan itu untuk mencipta lagu," katanya.


"Hip hop ada dalam diri saya sampai bila-bila, ...namun setahun lagi, menjelang 2019, sudah sampai masanya untuk saya meninggalkan dunia nyanyian, ...Altimet. NSTP/ AZIAH AZMEEAziah Azmee

Info

  • Enam lagu sudah siap untuk projek album baharu Altimet iaitu Bunga, Mambang, Muda, Ngam, KL Wangan dan Same Kind.
  • Lagu Bunga membawa mesej kepada generasi muda yang menjadi muflis disebabkan gagal mengurus dan menggunakan wang diperoleh daripada pinjaman peribadi.
  • Proses rakaman bermula April lalu dan sudah siap 90 peratus.
  • Dijangka dipasarkan akhir tahun ini.
Berita Harian X