Rabu, 6 September 2017 | 5:13pm

Adira tak mahu fikir gosip suami

Kisah rumah tangga penyanyi Adira dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, bagai drama rantaian yang tidak berkesudahan.

Entah mengapa, sejak awal perkahwinan sehingga sudah memiliki cahaya mata comel berusia enam bulan, ada saja gosip, khabar angin dan kisah hangat dikongsi netizen membabitkan pasangan ini.

Bertemu Adira, penyanyi lagu Ombak Rindu ini tampak cukup sibuk dengan komitmen harian apatah lagi mengasuh bayi kesayangan, Anggrek yang makin lasak.

Bagai dapat meneka persoalan mengenai kisah rumah tangga mahu diajukan, Adira menjelaskan, dia enggan membebankan fikiran dengan kisah negatif yang boleh mengganggu rutin harian dan kerjaya.


ADIRA dan suami, Datuk Red serta anak mereka, Anggrek pada majlis akikah dan cukur jambul di Sungai Buloh. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Apa yang penting, saya malas hendak fikir mengenai perkara itu kerana ia boleh mengganggu fokus saya.

"Anggap saja isu yang timbul ini sekadar perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan.

"Buat masa ini, saya mahu menjadi ibu yang baik buat Anggrek dan tidak mahu dia membesar membaca perkara negatif mengenai keluarganya," pintanya.

Tambah Adira, dia enggan mengambil peduli publisiti murahan, sebaliknya mahu lebih fokus membesarkan Anggrek.


ADIRA enggan mengambil peduli publisiti murahan, sebaliknya mahu lebih fokus membesarkan Anggrek. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Adira mengaku kontroversi membabitkan suaminya sering terjadi. Disebabkan itu, dia seakan-akan tawar hati untuk mengambil sebarang tindakan atau bersemuka dengan suami.

Sebelum ini, Datuk Red pernah membuat kenyataan cuba mendekati artis baharu dikenali sebagai 'N'. Namun, kisah itu berakhir apabila pelakon wanita kelahiran Sabah itu memaklumkan Adira mengenainya.

Adnan juga sebelum ini pernah mencipta kontroversi apabila video dirinya memeluk pelakon, Ruhainies, ketika menaiki tangga bergerak di sebuah pusat beli-belah tersebar.

Dalam perkembangan lain, Adira atau nama penuhnya, Adira Suhaimi, 26, giat berlatih untuk menyertai edisi baharu program realiti, Akademi Fantasia (AF) yang menghimpunkan bekas pemenang dikenali sebagai AF Megastar.


ADIRA dan suami, Datuk Red pada Majlis PraKemuncak Anugerah Bintang Paling Popular 3.0 (ABPBH) di Balai Berita NSTP, Bangsar. - Foto Aziah Azmee

Biarpun rakan seangkatan memilih untuk tidak menyertainya, Adira nekad mencuba nasib.

Menganggap kritikan yang dilempar sebagai lumrah pertandingan, penyanyi berkulit putih itu mengetepikan ego demi kembali bergerak aktif dalam bidang nyanyian.

"Dalam apa-apa situasi sekalipun, dalam pertandingan, pasti ada yang kalah dan menang.

"Saya menyertai program ini untuk mencabar diri bergerak aktif dalam bidang nyanyian. Ini kerana saya agak senyap selepas berkahwin," katanya.


PENYANYI, Adira. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Adira berkata, dia akan cuba membuka minda agar dapat berdepan kritikan dan cabaran dalam pertandingan itu.

"Ini kerana pendapat juri akan membantu saya memperbaiki lagi mutu nyanyian," katanya.

Adira yang menyertai AF musim kelapan, ketika itu bersaing dengan kakaknya, Ema, Maulana dan juara edisi itu, Shahir.

Biodata

Nama penuh : Adira Suhaimi

Umur : 26

Asal : Ranau, Sabah

Suami : Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red

Anak : Anggrek

Lagu popular : Ombak Rindu dan Dewi Cinta

Berita Harian X