Selasa, 29 Ogos 2017 | 9:48pm
FIZO dan Mawar bersetuju menjalani pembedahan laparoscopy dan minilap pada 14 Januari 2016. - Foto Aziah Azmee

Fizo reda Mawar sukar hamil

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Fizo Omar, bersikap terbuka dengan pendedahan doktor pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Hamid Arshat, mengenai punca isterinya, Mawar Abdul Karim, sukar hamil di laman Facebook milik pengamal perubatan berkenaan.

Fizo berkata, beliau tidak malu dengan pendedahan itu kerana menyifatkan ia perkongsian sangat berguna buat wanita yang mempunyai masalah sukar hamil seperti Mawar.

"Pada mulanya saya memang tidak mahu berkongsi perkara ini kepada umum. Namun apabila difikirkan semula, ia berbalik pada niat, iaitu untuk mendidik masyarakat.

"Saya percaya ramai yang sudah lama berkahwin, tetapi tiada zuriat walaupun berusaha dengan pelbagai cara.

"Mereka tidak sedar, punca gagal mendapat zuriat kerana beberapa masalah tertentu yang kita kurang maklum. Begitu juga dengan Mawar, yang rupa-rupanya mengalami (sista) cyst peringkat empat.

"Jadi saya fikir, apa salahnya kita berkongsi masalah ini menerusi Facebook doktor kami, iaitu Dr Hamid, untuk pengetahuan orang ramai," katanya kepada BH.


FIZO dan Mawar bersama Dr Hamid Arshat. - Foto Facebook Dr Hamid Arshat

Baru-baru ini, Dr Hamid mendedahkan mengenai pesakitnya, Mawar, yang mempunyai masalah peranakan sehingga menyukarkan wanita itu untuk hamil.

Katanya, Mawar mempunyai masalah senggugut yang sangat teruk sejak remaja sehinggalah selepas berkahwin dan ia sebenarnya tanda penyakit dalam peranakan, iaitu endometriosis.

Setelah berbincang, Fizo dan Mawar bersetuju menjalani pembedahan laparoscopy dan minilap pada 14 Januari 2016.

Penemuan dalam pembedahan amat mengejutkan apabila didapati endometriosis sudah pada peringkat empat, rahim melekat pada usus dan kedua-dua saluran fallopian tersumbat serta sista 4 sentimeter pada ovary kanan. Malah, ada juga parut dan lekatan akibat penyakit endometriosis.

Dengan situasi kerosakan yang sangat teruk, Mawar membaikpulih peranakan dan haidnya perlu dihentikan selama tiga bulan bagi membantu proses pemulihan.

Selepas beberapa rawatan susulan, akhirnya wanita itu disahkan hamil pada 16 Mei lalu.


PENDEDAHAN mengenai Mawar sukar hamil di laman Facebook milik pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Hamid Arshat. - Foto Facebook Dr Hamid Arshat

SEWAKTU Majlis pernikahan pelakon, Fizo Omar dan Mawar Abdul Karim di Kajang pada 10 November 2013- Foto NSTP/Adi Safri

Dalam pada itu, Fizo berkata, beliau juga mahu membuka mata wanita untuk mengambil serius dengan masalah peranakan kerana ia masih lagi dianggap topik yang pantang untuk dibicarakan di kalangan wanita tempatan.

Sementara itu, Fizo sedang merancang menghasilkan program diari harian beliau bersama isteri berjudul Timang yang akan dipaparkan di laman YouTube.

Katanya, program terbabit akan menceritakan kisah mereka menjaga kandungan dan seterusnya berkongsi cara mendidik anak bermula daripada dalam kandungan.

"Program ini dihasilkan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah Fizo Omar Channel dan Fizo Omar Creative.

"Saya melabur sejumlah perbelanjaan dengan melantik produksi profesional bagi menghasilkan video ini.

"Kami mahu memberi manfaat kepada masyarakat bagaimana cara penjagaan dan pendidikan bayi seawal dari kandungan sehinggalah dewasa. Insya-Allah ia akan dilancarkan pada pertengahan September depan," ujarnya.

Berita Harian X