Selasa, 29 Ogos 2017 | 5:44pm
DAFI bersama Cik Maggis ketika Girl pengambaran Girl Dafi di Addstudio. - Foto Owee Ah Chun

Girl dapat sambutan, Dafi tunai janji

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dafi menunaikan janji kepada peminatnya untuk merakamkan video muzik single terbarunya berjudul Girl apabila lagu itu berjaya mencecah lebih sejuta tontonan.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 28, berkata beliau menggunakan tema santai untuk diadaptasi dalam muzik video lagu yang mendapat sentuhan tiga komposer, Hael Husaini, Omar K dan Ezra Kong.

"Mungkin bagi sesetengah artis, jumlah sejuta itu mudah dicapai, namun ia adalah catatan membanggakan buat diri saya. Oleh itu, muzik video ini dihasilkan khas buat peminat yang bertungkus lumus menyokong kerjaya seni saya.

"Saya pernah berjanji kepada peminat, jika video lirik lagu ini di YouTube berjaya mencatat sejuta tontonan, saya akan merancang muzik videonya pula. Biarpun sudah hampir setahun, namun pada saya masih belum terlambat untuk menunaikan janji berkenaan.

"Alunan rancak muzik Girl bersesuaian dengan tema santai yang dipilih. Bagi video ini, saya turut menggunakan khidmat beberapa rakan rapat iaitu Cik Maggis daripada kumpulan De Fam dan Budak Joget," katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu terharu apabila luahan perasaan menerusi lagu Girl dirasakan turut berjaya 'menangkap' perhatian ramai.

Selain itu, lagu berkenaan turut dijadikan runut bunyi drama rantaian, Sayang Papa Saya Tak, yang menampilkan Hisyam Hamid dan Emma Maembong selaku teraju utama.

Sebelum ini Dafi pernah menghasilkan album penuh pada 2009 berjudul Seumur Hidup, disusuli album mini yang memuatkan lima dendangan pada 2014, D4F1.

Berita Harian X