Selasa, 29 Ogos 2017 | 11:14am
BEKAS Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Helan Abu.

Ayah tak reti duduk diam

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Allahyarham Helan Abu, 74, yang meninggal dunia akibat penyakit jantung, malam tadi, dikenang atas sumbangannya menyemarakkan dunia televisyen (TV) pada era 1980-an.

Anak Allahyarham, Helme Helan, 47, memberitahu, ketika hayatnya, arwah sangat berdedikasi terhadap kerjaya malah tidak pernah 'duduk diam' selepas bersara.

"Ada beberapa program TV yang arwah terbitkan. Apa yang saya ingat adalah drama Puspa Jaya (PJ Holdings) dan game show, Cuba Teka.

"Sebelum arwah 'pergi', ayah ada beritahu hendak membuat beberapa aktiviti termasuk ibadat korban, ...ayah memang tak reti duduk diam. Biarpun sudah bersara, mesti ada saja perkara yang hendak ayah buat," katanya kepada BH Online.

Allahyarham yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas mengadu sakit dada, dua minggu lalu, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga, pada jam 11.53 malam.

Ketika hayatnya, arwah yang dianggap antara tokoh RTM, pernah menjadi penyampai radio, pengacara rancangan, pembaca berita, pengarah drama dan hiburan sebelum bersara pada 1998.

Helme berkata, selain sakit jantung, arwah turut menghidap kencing manis.

"Pada mulanya, ayah dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) sebelum dipindahkan ke wad biasa, Ahad lalu. Namun, semalam, ayah dimasukkan semula ke CCU," katanya.

Tambah Helme, arwah tampak sihat malah boleh bergurau dengan kakitangan hospital, minggu lalu.

"Ketika itu, kami terfikir mahu mengadakan majlis doa selamat. Namun, petang semalam, kira-kira jam 5.30 petang, doktor hubungi dan meminta anak-anak pergi ke hospital," katanya.

Mengenai didikan terhadap anak-anak, Helme berkata, arwah tidak pernah mengongkong dirinya dan adik-beradik lain.

"Arwah beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih jalan sendiri. Ayah tak suka mengongkong dan sentiasa menyokong apa yang dilakukan anak-anak," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, kira-kira 11.30 pagi tadi.

328 dibaca
Berita Harian X