Sabtu, 26 Ogos 2017 | 7:20pm
YAZIT Ahmad (kanan)

Yazit ajak peminat sertai klinik dram

KUALA LUMPUR: Bekas pemain dram kumpulan rock legenda, Search, Yazit Ahmad, 54, mengalu-alukan mereka yang berminat menajamkan bakat untuk menyertai klinik dram di bawah tunjuk ajarnya.

Katanya, sebelum ini ada pihak yang tersalah anggap dan menyangka kelas itu tidak lagi diteruskan apabila dia menerima rawatan kerana menghidap sakit buah pinggang.

Yazit berkata, biarpun kurang sihat, dia tetap perlu mencari rezeki dan sumber pendapatan itu dapat digunakan bagi menjalani rawatan dialisis.

"Ketika ini, kelas itu dihentikan seketika kerana tiada pelajar baharu. Barangkali ramai tidak tahu saya masih bertenaga untuk meneruskan klinik dram seperti dulu.

"Undangan untuk menjayakan program di sini sudah jarang diterima, tetapi baru-baru ini, saya memenuhi permintaan sebagai juri jemputan di Brunei. Syukur kerana masih ada yang mempercayai saya.

"Saya perlu bekerja bagi menampung kos dialisis tiga kali seminggu. Mujur Baitulmal turut menyalurkan bantuan, namun selebihnya perlu saya cari sendiri," katanya yang menghidap sakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu.

Mengulas projek bersama kumpulan Rampage, Yazit berkata, dia dan empat lagi anggota lain merancang untuk melancarkan album mereka selepas Aidiladha.

"Pembikinan album yang memuatkan 10 lagu ciptaan kami sudah selesai. Ia akan dilancarkan tidak lama lagi kerana kami masih mencari masa yang sesuai, berkemungkinan selepas raya haji," katanya.

Berita Harian X