Khamis, 24 Ogos 2017 | 10:34pm

Hannah Delisha tak layan cinta di lokasi

TAMPIL dengan produk sulung, drama bersiri Mencintaimu Mr Photographer yang menggandingkan dirinya dengan hero kacak, Syafiq Kyle, gadis kelahiran Singapura, Hannah Delisha, tiba-tiba menjadi buah mulut netizen.

Menghidupkan watak Aira, gadis berdarah campuran berusia 21 tahun ini mendapat pujian ramai hasil lakonan mantap dalam drama arahan

Eyra Rahman itu.

Tidak hairanlah, Hannah atau nama penuhnya, Hannah Adlina Blackburne Birch pantas mengumpul pengikut di laman sosial. Hingga hari ini, akaun Instagram Hannah diikuti hampir 600,000 peminat.

Mula dilimpahi aura glamor dan dugaan dunia seni, Hannah membentuk 'benteng' sendiri dengan memastikan ibu tersayang sentiasa menemani.

"Dari dulu lagi, emak sentiasa bersama saya. Malah, ketika mula berjinak-jinak dengan dunia seni di Singapura, emaklah yang menguruskan kerjaya saya.

"Disebabkan saya masih baru di Malaysia, bantuan emak cukup diperlukan. Emak menjadi rujukan utama saya dalam setiap perkara.


HANNAH atau nama penuhnya, Hannah Adlina Blackburne Birch. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Emak tak pernah putus memberi nasihat apa yang baik dan tidak elok dilakukan. Paling penting dia sentiasa menasihati supaya jangan tinggalkan solat lima waktu dan terus merendah diri," katanya kepada BH Plus.

Gagal mengelak usikan nakal, ada peminat mula mengusiknya dengan Syafiq. Netizen pula membuat spekulasi kononnya Hannah dan Syafiq terkena 'wabak' cinta lokasi atau mengikut istilahnya, 'cinlok'.

Mengulas mengenai perkara itu, Hannah berkata:

"Saya ada pendirian dalam hal ini. Saya selesa berganding dengan Syafiq. Kami seperti working buddy... Itu saja. Benarlah, dalam hal hati dan perasaan, kita tak boleh kawal.

"Cuma bagi saya, saya datang ke Malaysia dengan niat bekerja. Saya pun masih muda untuk memikirkan soal hati atau cinta. Biarlah saya fokus kerja. Banyak lagi perkara yang perlu saya utamakan," katanya.

Hannah mengaku dirinya bersifat terbuka dan sentiasa mencabar diri mencuba sesuatu yang baru.

"Selagi peminat dan penonton suka gandingan saya dengan Syafiq atau pelakon lain, saya menerimanya dengan terbuka... Itu suatu bonus. Kalau dapat tawaran yang sesuai, saya sahut cabaran," katanya.


SEBELUM mencuba nasib di Malaysia, Hannah pernah berlakon selama setahun di Singapura. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Makin dikenali di Singapura

Bagai tidak percaya dirinya mula bertapak dalam industri hiburan di Malaysia, Hannah mengaku impaknya cukup besar.

Malah, katanya, impak drama Mencintaimu Mr Photographer mula membuka mata banyak pihak di negara kelahirannya.

"Sebelum mencuba nasib di Malaysia, saya pernah berlakon selama setahun di Singapura. Namun, impaknya tidak sehebat di Malaysia. Pendedahan dalam industri seni di negara ini ternyata lebih besar. Disebabkan itulah nama saya cepat dikenali.

"Saya fikir peminat di Singapura mula buka mata dan bertambah ramai meminati saya. Secara jujur, saya tak sangka akan melalui semua ini," kataya.

Namun, Hannah percaya semuanya bergantung kepada soal rezeki.

"Saya bersyukur atas nikmat ini. Apabila dapat projek drama Mencintaimu Mr Photographer, saya buat sehabis baik. Selebihnya terpulang kepada penonton dan rezeki untuk menerima saya sebagai bakat baharu," katanya.


Hannah Delisha

Bawa watak hantu langsuir

Selepas aktres jelita, Maya Karin diingati melalui beberapa siri filem Pontianak Harum Sundal Malam, dunia sinematik tempatan bakal menyaksikan lahirnya Hannah sebagai pelakon seram pelapis.

Berkongsi berita gembira, Hannah memberitahu, dia bakal membintangi filem seram, Langsuir arahan Osman Ali dengan memegang watak utama.

Teruja ditawarkan projek itu, Hannah tidak sabar memulakan penggambaran filem pertama lakonannya itu, bulan depan.

"Ini filem pertama dan saya tidak sabar berlakon, apatah lagi menjadi hantu. Insya-Allah penggambaran akan bermula bulan depan di Pulau Langkawi," kataya.

Ditanya aktor yang akan berganding dengannya, Hannah enggan memberi pengesahan.

"Heronya masih rahsia," katanya.

Lancar single keempat

Mungkin ramai tidak tahu, Hannah mula menyanyi sejak berusia 17 tahun. Ketika itu, dia mengikat kontrak bersama syarikat rakaman, Alibi Music dan merakamkan dua single.

Terbaru, Hannah tidak sabar mempromosikan single berjudul Masih Ada Esok. Sebelum ini, Hannah merakamkan single Retak, Anugerah dan Tak Perlu Kata Apa Apa.

"Dalam soal lakonan dan nyanyian, saya mahu jadi serba boleh. Emak selalu nasihat kena cuba semua. Saya mahu cabar bakat dan tidak terus selesa pada tahap sama.

"Jika ditanya apa fokus saya, saya jawab kedua-duanya iaitu lakonan dan nyanyian. Dalam industri ini, saya nak teroka apa yang boleh dilakukan. Kita tak tahu di mana kelebihan dan rezeki kita," katanya.


HANNAH mengaku dirinya bersifat terbuka dan sentiasa mencabar diri mencuba sesuatu yang baru. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Info

Nama penuh: Hannah Adlina Blackburne Birch

Nama komersial: Hannah Delisha

Umur: 21 tahun

Single: Retak, Anugerah, Tidak Perlu Kata Apa-Apa dan Masih Ada Esok

Drama: Farhana, Simptom, Kemelut, Faculty, 7 Hari dan Mencintaimu Mr Photographer

Program majalah: Ciptarasa Rempah Ratus

Telefilem: Spaghetti Kuah Kacang

Berita Harian X