Selasa, 22 Ogos 2017 | 10:38pm
WANY meminati muzik tradisional, namun menerima cadangan pihak pengurusan untuk tampil dengan single bergenre balada. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Wany Hasrita jauhi sikap bongkak

WALAUPUN namanya semakin dikenali ramai dan satu demi satu lagunya mendapat perhatian peminat, penyanyi Menahan Rindu, Wany Hasrita, enggan mendabik dada dan bersikap besar kepala.

Jauh sekali penyanyi yang menyaksikan video single sulungnya mencecah tontonan 24 juta kali di YouTube itu mahu mengaku beliau cukup sempurna untuk dijadikan idola atau teladan oleh peminat.

Menurut gadis berusia 25 tahun ini, beliau cuba memperbaiki diri apabila menerima teguran daripada orang ramai berhubung sikap mahupun perlakuannya apabila dikatakan tidak sesuai dengan imej sopan bertudung yang ditampilkan.

Ketika semakin ramai wanita yang memilih untuk menutup kepala, artis naungan syarikat rakaman FMC ini berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang gadis berhijab sepertinya menceburi dunia nyanyian kerana setiap kelakuan perlu sentiasa dijaga.

"Sejujurnya, memang bukan mudah menceburi bidang nyanyian dengan imej berhijab kerana sebagai orang yang dikenali, setiap apa yang kita lakukan dijadikan contoh dan diperhatikan.

"Pernah sekali saya menyanyikan lagu parodi Despacito bersama rakan di bawah pengurusan yang sama. Ada yang dapat menerimanya dan ada juga yang menegur kerana ia kurang bersesuaian dengan imej seorang muslimah yang bertudung.


PENYANYI, Wany Hasrita atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Oleh itu, saya cuba muhasabah diri kerana tahu kadang kala alpa. Saya ini sebenarnya seorang yang 'gila-gila', jadi dalam masa yang sama perlu mengawal perwatakan diri kerana apa yang ditonjolkan kepada umum itu mencerminkan diri pada mata masyarakat," katanya kepada BH PLUS.

Graduan ijazah sarjana muda Sains Perubatan dari Management & Science University (MSU) itu menjelaskan, beliau masih dalam proses belajar untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.

Sementara itu, bercerita mengenai gosip cinta bersama Tajol, yang turut bernaung di bawah FMC, Wany menjelaskan, keakraban terjalin apabila diminta 'bercinta' untuk lagu duet mereka berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu.

Lagu itu kini antara yang menjadi kegemaran peminat apabila klip liriknya sudah mencecah angka 15.6 juta tontonan di YouTube, manakala video rasminya pula yang dimuat naik pada Jun lalu sudah mencecah 6.4 juta tontonan.

"Sebenarnya, kami bercinta dalam lagu saja. Kami diwajibkan berbuat demikian untuk mendapatkan 'feel' ketika menyanyikan lagu duet berkenaan. Hubungan kami tidak lebih daripada keakraban teman sekerja.

"Kalau dilihat di luar, sebenarnya kami rapat sama seperti rakan artis biasa dan tidak lebih daripada itu," kata Wany secara ringkas.

Selain itu, Wany atau nama sebenarnya, Nurshazwany Hasrita Hasbullah, turut berkongsi jiwanya meminati muzik tradisional, namun menerima cadangan pihak pengurusan untuk tampil dengan single bergenre balada sebagai taruhan dalam bidang nyanyian.

Selain single Menahan Rindu, beliau juga baru saja muncul dengan single solo kedua berjudul Rintihan Rindu.


WANY cuba memperbaiki diri apabila menerima teguran daripada orang ramai berhubung sikap mahupun perlakuannya apabila dikatakan tidak sesuai dengan imej bertudung ditampilkan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Info

  • Wany mula dikenali menerusi single Menahan Rindu, yang sehingga kini menyaksikan video rasminya sudah pun ditonton hampir 24 juta kali di YouTube sejak penghujung tahun lalu.
  • Sebelum berduet dengan Tajul, beliau juga pernah menyanyikan semula lagu Memori Berkasih versi Melayu-Korea dengan Kim Dong Gyun.
  • Kini muncul dengan lagu baharu berjudul Rintihan Rindu.
Berita Harian X