Ahad, 20 Ogos 2017 | 4:19pm
DATUK Aznil Nawawi. - Foto Muhammad Sulaiman

Pak Nil pilih lagu Sudirman

KUALA LUMPUR: Datuk Aznil Nawawi memilih lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad berjudul Hoore! Hoore! pada segmen pembukaan di majlis perasmian Sukan SEA ke-29 (KL2017), malam tadi, kerana yakin dendangan itu mampu menaikkan semangat penonton.

Menyifatkan peluang beraksi pada malam bersejarah itu sebagai penghormatan buatnya, pengacara yang mesra disapa Pak Nil itu memberitahu, keyakinan penganjur terhadap keupayaannya menguatkan semangat untuk beraksi.

"Biarpun kemunculan saya hanyalah untuk acara pembukaan atau 'pemanas badan' sebelum majlis perasmian, namun saya tidak pandang ringan.


PAKNIL semasa persembahan pembukaan tirai Majlis Perasmian Sukan Sea 2017. - Foto ihsan instagram aznilnawawihm

"Kepercayaan diberi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan penganjur termasuk bekas pengurus Sudirman, Dani'el Dharanee Kannan menambah keyakinan saya untuk beraksi dengan lebih baik," katanya kepada BH Online.

Menurut personaliti berusia 54 tahun ini, dia diberi kebebasan menyusun persembahannya malam tadi.

"Pada awalnya, saya mahu membawa bas pelancongan, KL Hop-In Hop-Off ke dalam stadium. Namun, disebabkan keadaan stadium yang diubah suai selain tidak mahu merosakkan trek, hasrat itu terpaksa dilupakan," katanya.

Tambah Aznil, dia sekali lagi akan terbabit dengan persembahan penutup pada 30 Ogos ini.

Kali ini, dia akan bergandingan dengan anak saudara Sudirman iaitu Atai bagi menyanyikan lagu Balik Kampung dan Jalur Gemilang.

Berita Harian X