Rabu, 16 Ogos 2017 | 4:07pm
PENYANYI, Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Shaa malu berlakon dalam video Pertama Kali

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Shaa, mengaku beliau berasa janggal dan malu ketika berlakon dalam video muzik single sulungnya, Pertama Kali.

Apatah lagi, ia menjadi pengalaman pertama dirinya beraksi di depan kamera bagi sebuah klip video.

"Saya akui perasaan bercampur baur ketika berlakon dalam klip video terbabit. Perasaan janggal dan malu kuat bermain dalam diri saya ketika menjalani penggambaran video berkenaan, 14 Jun lalu.

"Maklum saja, ia pengalaman sulung saya dalam lakonan sehingga kini. Bagaimanapun, apabila melihat hasilnya, saya berasakan sedikit sebanyak bakat lakonan ada dalam diri. Ia tidaklah mengecewakan walaupun saya bukannya pelakon profesional," kata penyanyi ini.

Video muzik yang dirakam di sekitar Kota Damansara, Petaling Jaya, itu bakal dilancarkan secara rasmi menerusi laman YouTube Nova Music pada Jumaat ini, jam 9 malam.

Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari, 22, mencipta populariti dalam arena muzik menerusi lagu yang dicipta sendiri olehnya itu. Sehingga kini video lirik lagu berkenaan sudah ditonton hampir 8.5 juta kali di laman terbabit, sejak dimuat naik April lalu.

"Saya sangat bersyukur dengan sambutan positif diberikan kepada lagu ini. Kini, saya tidak sabar dan teruja untuk menantikan kehadiran video muzik rasminya pula," kata Shaa yang mencipta lagu terbabit ketika berusia 15 tahun.

Asalnya, Pertama Kali dimuat naik ke laman YouTube dengan judul Untukmu Sayang pada awal 2015. Waktu itu, ia hanya menampilkan nyanyian dan lirik tanpa sebarang muzik, namun berjaya mencatat lebih 700,000 tontonan.

Selepas ia dikomersialkan, lagu terbabit muncul antara karya paling popular tahun ini.

Selain mengungguli carta Hits Gegar selama enam minggu, ia juga menjuarai carta lagu di beberapa stesen lain, di samping menjadi pilihan peminat di beberapa platform digital.

33 dibaca
Berita Harian X