Selasa, 8 Ogos 2017 | 6:20pm
ELYANA.
PENYANYI, Elyana di Talent Lounge, Damansara Perdana. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Elyana terkejut status murung dapat simpati netizen

KUALA LUMPUR: Sering berkongsi rutin harian di laman sosial, penyanyi Elyana mengaku berdepan tekanan apabila memuat naik catatan berbaur emosi pada akaun Instagram, sejak akhir-akhir ini.

Elyana menjelaskan, dia terharu dengan sokongan insan sekeliling yang prihatin dengan luahannya pada laman sosial itu.

"Secara jujur, saya akan berkongsi status jika 'down' (murung), bukan sekadar memuat naik perkara yang menggembirakan di media sosial. Kadang kala, saya tidak tahu bagaimana hendak meluahkan (perasaan), jadi akaun Instagram dijadikan medium berkongsi kesedihan.

"Tidak sangka ramai yang memberi kata-kata semangat selepas melihat perkongsian saya. Sikap positif yang ditunjukkan netizen menerusi mesej yang diterima menguatkan kembali semangat ini," katanya kepada BH Online.


CATATAN berbaur emosi yang dimuat naik oleh Elyana di akaun Instagramnya.

Sejak akhir-akhir ini, Elyana kerap memuat naik kata-kata yang antara lain memberi gambaran dirinya dirundung kemurungan. Tindakan itu menyebabkan pengikut tertanya-tanya motif penyanyi Tak Tercapai Akalmu itu berbuat demikian.

Elyana menjelaskan, dia terkejut apabila dirinya masih relevan dalam kalangan peminat melalui komen yang dibaca.

"Saya sebenarnya buta teknologi. Jadi apabila diperkenalkan dengan aplikasi 'Insta Story', saya seronok menggunakannya. Namun, tidaklah hingga saya ketagih dengan Instagram, cuma sekadar mengisi kelapangan.

"Apa yang peliknya, ramai yang bertanya kepada saya sekiranya satu hari tidak memuat naik apa-apa di 'Insta Story'. Tidak sangka saya dikenali kerana sering berkongsi rutin di media sosial pula," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, single terbaru Elyana berjudul Ikhlas Dalam Resah ciptaan Tam Spider sudah dilancarkan menerusi medium digital. Lagu itu sedang menanti giliran untuk diputarkan di corong radio tempatan.


CATATAN berbaur emosi yang dimuat naik oleh Elyana di akaun Instagramnya.

56 dibaca
Berita Harian X