Jumaat, 4 Ogos 2017 | 9:24pm
Akim & The Majistret

Cinta Laila dan Majnun inspirasi single baharu

KUALA LUMPUR: Akim & The Majistret mengadaptasi kisah percintaan Laila dan Majnun bagi penghasilan single terbaharu mereka.

Pencipta melodi, Zimi atau nama sebenarnya Zarimi Zahari, 32, berkata single berjudul Lagu Untuk Laila itu ditujukan buat golongan lelaki yang setia mencintai kekasih mereka biarpun cinta tidak kesampaian.

"Saya bertanggungjawab mencipta melodi lagu ini, manakala Akim pula selaku penulis liriknya. Idea tercetus ketika kami duduk melepak dan mencari ayat yang menarik perhatian untuk diketengahkan. Ketika itulah kami teringat cinta agung Laila Majnun.

"Kasih sayang yang dicurahkan oleh Majnun kepada Laila memberi kami ilham untuk single terkini ini. Malah, jika ditonton semula filem klasik ini, pastinya ia mampu membuat kita menitiskan air mata.

"Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran, rasa cinta itu tetap utuh terhadap si kekasih. Oleh itu, kami berharap Lagu Untuk Laila ini dapat diterima baik oleh penggemar muzik tempatan," katanya kepada BH Online.

Zimi berkata, 'teaser' bagi Lagu Untuk Laila akan menggunakan visual daripada filem The Good, The Bad and The Ugly, yang dihasilkan pada 1966.

The Majistret dianggotai oleh tujuh pemuzik berbakat iaitu Akim selaku vokalis, Wan (pemain dram), Freddy (gitar utama), Gjie (gitar kedua), Zimi (gitar ketiga), Fairuz (bes) dan Afiez (keyboard).

26 dibaca
Berita Harian X