Khamis, 3 Ogos 2017 | 12:01am
GELAGAT pelakon, Puteri Aishah pada malam kemuncak tiga dekad Anugerah Bintang Popular BH 3.0 (ABPBH 3.0) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/Aziah Azmee
PELAKON, Puteri Aishah (kiri) bergambar bersama peminat yang hadir menyaksikan Strim Live Siaran HD Anugerah Juara Lagu 31 di Golden Screen Cinemas (GSC) Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
PUTERI Aishah dan Penolong Pengurus Produksi, Arield Mohd Rifin pada Borak Lokasi: Cinta Roller Coaster oleh Suhan Movies di Bestari Ukay, Ulu Klang. - Foto NSTP/Shiraz Ali

Puteri Aishah 'kuat' kerana sakit Mama

PADA usia 23 tahun, beban yang dipikul di bahu gadis ini cukup besar.

Berdepan dugaan hebat, Puteri Aishah berkongsi derita ditanggung ibu yang sedang bertarung nyawa melawan penyakit kanser ovari tahap empat.

Reda ketentuan Tuhan, Puteri Aishah bagaimanapun enggan rebah. Sebaliknya, dia mahu terus kuat dan positif demi wanita yang dipanggil Mama itu.

"Dari kecil, Mama adalah segala-galanya buat saya dan adik-beradik lain. Menjadi ibu tunggal, Mamalah yang menjadi ayah dan ibu kami.

"Apa yang terjadi kepada ibu lebih membuka mata saya untuk bersyukur menghargai hidup dengan tempoh waktu yang masih ada bersama Mama, ...Saya sedar bila-bila masa saja Allah boleh tarik nyawa Mama.

"Saya tahu hayat Mama di dunia ini tak lama sekalipun doktor tidak memaklumkan perkara ini kepada saya. Disebabkan itulah, saya dan adik-beradik yang lain mahu membahagiakan Mama dalam tempoh waktu yang bersisa ini.


Puteri Aishah bersama ibu tercinta. - Foto Ihsan Puteri Aishah

PUTERI Aishah bersama Mama. - Foto ihsan Instagram Puteri Aishah

"Saya mahu menggembirakan Mama. Saya tahu Mama mungkin tak sempat melihat saya membuktikan diri boleh pergi jauh dalam dunia seni. Namun, Insya-Allah saya usahakan ke arah itu demi Mama," katanya kepada BH Plus.

Puteri Aishah yang pernah menjadi finalis program pencarian Dewi Remaja 2015/2016 itu mengaku, demi melihat ibunya kuat bertarung untuk meneruskan hidup, dia juga perlu mengambil langkah sama.

"Kalau Mama lemah semangat, saya akan pujuk dia. Saya sendiri kena jadi kuat supaya adik beradik lain tak terus jadi lemah.

"Dari kecil kami hidup bersama dan kami harus sama-sama menyokong untuk survival Mama," katanya.

Tambah Puteri Aishah, mereka sama-sama bergilir menjaga Mama.

"Ada antara kami yang menjaga Mama di rumah dan di hospital setiap kali menjalani rawatan. Kami juga sepakat menghantar Mama berubat atau ke mana-mana yang dia mahu pergi.

"Saya pula perlu menguruskan bil rawatan dan membiayai keperluan Mama. Setiap hari, saya cuba untuk berada di sisi Mama apabila tidak berlakon," katanya.


PUTERI Aishah ketika hadir bagi menyaksikan Strim Live Siaran HD Anugerah Juara Lagu 31 di Golden Screen Cinemas (GSC) Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

PUTERI Aishah pastikan sentiasa bersama Mama ketika tidak berlakon. - Foto ihsan Instagram Puteri Aishah

Takut kehilangan

Akui Puteri Aishah, sebagai anak, sesiapa yang berada dalam kedudukannya, pasti melakukan perkara sama jika ibu berdepan penyakit.

Sehubungan itu, Puteri Aishah perlu bekerja keras untuk membiayai kos rawatan termasuk kimoterapi yang perlu dilalui ibunya secara berkala.

Malah, sejak beberapa bulan lalu, Puteri Aishah sering berkongsi perkembangan kesihatan ibunya melalui laman Instagram. Namun, sejak akhir-akhir ini, rutin itu tidak lagi dilakukan atas permintaan ibu.

"Mama masih membuat rawatan kemoterapi. Penyakitnya baru saja didiagnosis pada April lalu. Saya tidak pasti sejak bila Mama diserang penyakit itu.


Puteri Aishah bersama ibu tercinta. - Foto Ihsan Puteri Aishah

"Saya berharap Mama akan sembuh seperti biasa. Saya juga berharap peminat mendoakan kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik ini sebenarnya masih bergelut dalam kehidupannya. Memikul tanggung jawab besar, Puteri Aishah umpama matang sebelum usianya.

Mengambil tugas penting dalam keluarga terutama dalam memberi perhatian kepada ibu yang sakit, Puteri Aishah mengaku tidak mampu menyembunyikan perasaan takut akan kehilangan wanita berkenaan.

Dalam berdepan dugaan, Puteri Aishah cuba mencari kebahagiaan dengan cara sendiri.

"Saya kena tunjukkan diri ini kuat dan gembira. Biarpun jauh di sudut hati saya takut dan masih terlalu muda untuk berdepan semua ini termasuk menerima hakikat yang Mama boleh pergi bila-bila masa," katanya.


Puteri Aishah pada Borak Lokasi: Cinta Roller Coaster oleh Suhan Movies di Bestari Ukay, Ulu Klang. - Foto NSTP/Shiraz Ali

Tunggu tayangan dua drama

Pelakon yang baru-baru ini digossip kononnya menjalinkan cinta dengan usahawan terkenal, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, sedang melunaskan penggambaran drama adaptasi novel Mr Hot Guy bagi slot Akasia TV3.

Bagaimanapun, judul drama itu ditukar menjadi Lelaki Itu Pilihan Hatiku yang menyaksikan dirinya berganding dengan Raja Afiq.

"Drama ini berkemungkinan besar menemui penonton menjelang akhir tahun ini.

"Begitu juga drama Air Mata Di Bumi Matador yang akan disiarkan RTM pada waktu sama. Selain itu, saya juga sedang menanti filem Pulang arahan Kabir Bhatia yang akan ditayangkan tahun depan," katanya.

Info

  • Antara finalis program pencarian Dewi Remaja 2015/2016 yang menyaksikan Raysha Rizrose muncul juara.
  • Baru menginjak usia 23 tahun.
  • Ketika menjadi guru sandaran, kisah Puteri Aishah pernah viral dan membuka pintu rezeki untuk dirinya menceburi dunia seni.
  • Anak kedua daripada empat beradik iaitu masing-masing dua lelaki dan perempuan.
Berita Harian X