Rabu, 2 Ogos 2017 | 12:00am
PELAKON yang baru mencuba nasib sebagai penyanyi, Nazrief Nazri. - Foto Aziah Azmee
NAZRIEF baru saja muncul dengan single sulung berjudul Cinta Semalam. - Foto Aziah Azmee

Nazrief Nazri enggan dibandingkan dengan Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Pelakon yang baru mencuba nasib sebagai penyanyi, Nazrief Nazri, meminta supaya dirinya tidak dibandingkan dengan artis lain.

Beliau, yang baru saja muncul dengan single sulung berjudul Cinta Semalam, berkata demikian apabila ada peminat meninggalkan komen membandingkan nyanyian dan dirinya dengan Fattah Amin di laman YouTube.

"Saya tidak mahu timbul salah faham, apatah lagi dengan Fattah sebab kami kenal antara satu sama lain.

"Fattah juga antara yang menghantarkan ucapan tahniah apabila lagu saya dilancarkan baru-baru ini," katanya kepada BH Plus.

Nazrief percaya, setiap penyanyi mempunyai kelebihan masing-masing, justeru tidak perlu dibuat perbandingan antara mereka.


NAZRIEF percaya setiap penyanyi mempunyai kelebihan masing-masing. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Namun katanya, peminat mempunyai hak untuk membuat pilihan masing-masing.

Beliau berkata, niat utama menjadi penyanyi bukan untuk bersaing, sebaliknya ia didorong minat yang terpendam sejak kecil dan akhirnya kini berjaya direalisasikan.

Baginya, muzik itu sendiri bersifat sejagat dan patut diraikan secara positif, bukannya dijadikan medan menghentam antara satu sama lain.

"Saya hargai peminat yang memuji saya dan terima kasih saya ucapkan. Cuma, jangan burukkan orang lain kerana ia sesuatu yang tidak sihat," katanya.

Mengenai bidang nyanyian, Nazrief berkata, niat awalnya melangkah ke dunia dunia seni adalah untuk menjadi penyanyi, namun peluang dalam lakonan terhidang lebih dulu.


NIAT utama Nazrief menjadi penyanyi bukan untuk bersaing, sebaliknya didorong minat yang terpendam sejak kecil . - Foto Shiraz Ali

"Jujurnya, saya memang lebih minat menyanyi, tetapi rezeki berlakon datang terlebih dulu. Kini, saya gembira kerana impian saya tercapai juga," katanya yang memulakan kerjaya lakonan menerusi drama Anak Ikan pada 2012.

Nazrief menambah, meskipun nanti dirinya sibuk dengan aktiviti nyanyian, beliau tetap mahu kerjaya lakonan bergerak seiring.

Katanya juga, beliau bukan tamak apabila ingin mengejar impian dalam kedua-dua bidang terbabit, tetapi percaya masing-masing saling berkaitan antara satu sama lain.

"Bagi saya, asalkan kita tahu untuk fokus dan melakukan yang terbaik, tidak salah untuk bidang lakonan dan nyanyian bergerak seiring," katanya.

Sehingga kini, Cinta Semalam nyanyiannya berjaya berada dalam senarai 15 lagu popular di platform Spotify, carta Viral 50 Malaysia.


NAZRIEF mahu kerjaya lakonan dan nyanyian bergerak seiring. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Info:

  • Dilahirkan dengan nama Mohamad Nazrief Mohamad Nazri pada 19 Oktober 1991.
  • Mula diberikan perhatian apabila bergelar 23 Finalis Hero Remaja 2011/2012.
  • Mempunyai ijazah berkembar Sarjana Muda Operasi Maritim daripada Malaysian Institute Of Maritime Engineering Technology (UniKL Mimet) dan Chartered Institute Of Logistics And Transport (CILT).
  • Antara drama terbaru lakonannya ialah Demi Cinta Ain, Lara Terindah, Nasi Minyak Kuah Cinta, Urusan Hati Cik Drama Queen dan Cerita Dari Mastika.

Berita Harian X