Selasa, 1 Ogos 2017 | 4:08pm
SERINA Redzuawan sah bercerai talak satu dengan suaminya Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari.- Foto Halim Salleh
GAVIN Edward O'luanaigh melafazkan cerai talak satu keatas Pelakon dan Pengacara Serina Redzuawan di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari.- Foto Halim Salleh

Sudah lama sangat saya memendam rasa - Serina

KUALA LUMPUR: Pelakon, Serina Redzuawan, menerima dengan lapang dada segala suratan yang tertulis dalam kehidupan membabitkan perpisahannya dengan bekas suami, Salahuddin Ghaffar atau Gavin Edward O'Luanaigh.

Malah, anak kepada tukang masak selebriti, Chef Wan, itu juga bagai mampu menarik nafas lega apabila mereka disahkan bercerai talak satu, pagi tadi.

"Saya rasa lebih tenang kini. Sudah lama sangat saya memendam rasa dan kami juga sudah dua tahun tinggal berasingan.

"Begitupun, tipulah kalau saya katakan tidak sedih dengan apa yang terjadi. Namun, saya perlu bangkit dan kuatkan semangat demi anak tersayang. Saya tak mahu dua anak kami (Tristan Tareef, 7, dan Isabella Saffiya, 5) nampak ibu mereka menangis.

"Perceraian ini juga bukanlah titik noktah dalam hidup. Cuma jodoh antara saya dan dirinya tidak panjang. Apa pun, saya reda dengan ketentuan Tuhan. Pasti ada hikmah di sebaliknya dan Allah mempunyai rahsia atau sesuatu yang lebih baik untuk saya. Insya-Allah," katanya kepada BH Online.

Mengenai perancangan beliau selepas perpisahan itu, Serina dan Salahuddin sepakat untuk sama-sama membesarkan anak sekalipun tidak lagi bergelar suami isteri.

"Kami tidak mahu bergaduh, malah kami mahu memberikan kasih sayang dan ajaran agama Islam secukupnya buat anak. Saya juga mahu mengukuhkan ekonomi dalam perniagaan syiling emas pertama di dunia, dengan cop mohor Baginda Rasulullah.

"Hubungan saya dengan bekas suami juga masih baik dan kami selalu berhubung kerana berbincang soal anak," katanya.

"Semua itu rezeki untuk saya meneruskan kehidupan dan membesarkan anak. Malah, saya juga mahu menawarkan peluang kepada peminat yang ingin membuka kios menjual char kuetiau jenama saya sendiri. Mereka yang berminat boleh merujuk kepada Instagram saya @serinaredzuawan," katanya.

Serina sah bercerai talak satu dengan Salahuddin di Mahkamah Rendah Daerah Petaling, pagi ini. Pasangan berkenaan berkahwin pada 1 Januari 2010.

130 dibaca
Berita Harian X