Rabu, 26 Julai 2017 | 7:23pm

Memey dipuji rai ulang tahun kahwin Abby

KUALA LUMPUR: Pelakon, Memey Suhaiza, tidak menyangka kejutan yang diberikan kepada Abby Abadi pada ulang tahun perkahwinannya, mendapat perhatian di media sosial.

Memey berkata, perkongsian yang dibuat bukanlah untuk mempamerkan kemesraan semata-mata, sebaliknya bersifat spontan dan ia juga dirancang pada saat akhir.

"Sebenarnya, kami merancang untuk beraya bersama-sama, tetapi secara spontan timbul idea untuk membelikan kek sempena ulang tahun kak Abby bersama suaminya. Abang Norman pun terima cadangan saat akhir saya itu.

"Seperti semua sedia maklum, kami sekeluarga memang rapat sejak dulu lagi. Oleh itu, perkongsian berkenaan bukanlah sekadar untuk mempamerkan kemesraan semata-mata, sebaliknya menjadi kenangan dan khas buat tatapan peminat saya.

"Lebih mudah apabila kita bersikap positif dalam pelbagai aspek, daripada mengusutkan fikiran dengan anasir negatif. Insya-Allah pasti semua akan berjalan lancar," kata Memey kepada BH Online.

Gambar Memey, Norman, Abby dan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria, yang dimuat naik di Instagram pada 16 Julai lalu mengundang reaksi positif peminat.

Kebanyakan komen yang ditinggalkan netizen mendoakan kebahagiaan berpanjangan buat Abby dan suami, serta Norman dan isteri.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim,13; Marissa Dania Hakim, 11 dan Maria Danisha Hakim, 8.

Pasangan itu bercerai pada 18 Disember 2008.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 40, berkahwin dengan Muhammad Faizal, 43, pada 14 Ogos 2015.

Berita Harian X