Selasa, 18 Julai 2017 | 12:17am
ANAIS Adha.

Tak salah promosi anak untuk cari duit - Sharifah Sakinah

KETIKA ini, selain golongan selebriti sendiri, anak masing-masing juga semakin mendapat perhatian ramai. Dengan kemunculan media baharu seperti Facebook, Instagram dan Twitter, cahaya mata pelakon atau penyanyi juga mula mempunyai pengikut mereka.

Justeru, tidak menghairankan apabila jenama tertentu turut mengintai si cilik daripada keluarga terkenal untuk dijadikan duta produk masing-masing. Begitu juga dengan stesen televisyen yang mewujudkan program istimewa buat kanak-kanak yang belum pun matang berkenaan.

Maklum saja, pengaruh sebahagian daripada golongan cilik terbabit nyata mengatasi apa yang dimiliki sesetengah artis jauh lebih dewasa daripada mereka.

Nama seperti Aaisyah Dhia Rana, Lara Alana dan Yusuf Iskandar umpamanya semakin meniti bibir peminat. Gelagat dan keletah masing-masing sememangnya mampu mencuit jiwa masyarakat.

Persoalannya, apakah 'trend' semasa mendedahkan anak-anak kepada dunia komersial pada usia begitu muda seharusnya menjadi amalan yang perlu diikuti ataupun sebaliknya?


ARTIS, Sharifah Sakinah hadir pada pelancaran AIA Vitality di Glasshouse, Seputeh. - Foto Nazran Jamel

Jana pendapatan keluarga

Bagi pelakon, Sharifah Sakinah, yang baru saja menimang cahaya mata sulung, Anais Adha, hampir dua bulan lalu, soal selebriti 'memperdagangkan' anak mereka bukanlah perkara besar.

Kata isteri kepada Aliff Adha berkenaan, selagi saluran digunakan adalah betul, ia tidak seharusnya disekat, malah tindakan itu dilihat mampu membantu aspek kewangan keluarga artis berkenaan.

"Bagi saya yang tak berapa nak popular sangat ini, kalau sekadar ingin menambah sumber pendapatan, saya berasakan perkara itu okey saja. Ia tidaklah sampai timbul soal hendak menjual anak.

"Kalau saya, suami dan anak ke luar negara pun, bukannya orang kenal sekalipun anak saya diberi pendedahan di kaca TV atau promosi iklan di pelbagai lokasi di Malaysia.

"Dalam hal ini saya memang bersikap terbuka. Jika boleh buat duit, kenapa perlu menolak? Saya percaya pada usia anak yang masih muda, duit yang dijana itu dapat digunakan untuk masa depannya juga.

"Saya juga mahu anak saya belajar pandai-pandai dan menjadi insan berguna. Selain sokongan ibu bapa, saya percaya keuntungan diperoleh ini dapat memberikan ruang selesa untuk keluarga," katanya.


SAKINAH bersama suami dan anaknya, Anais Adha.

Terpaksa tolak tawaran

Dalam pertemuan bersamanya di Bangsar, baru-baru ini, Sakinah memberitahu, sebelum ini ada pihak yang berminat mengambil anaknya untuk mempromosikan produk, namun beliau menolaknya kerana tawaran yang dihulurkan tidak dirasakan berbaloi.

Kata wanita yang terkenal dengan sikap selambanya itu, beliau menolak tawaran berkenaan bukan kerana bersikap 'demanding, sebaliknya ada sebab tersendiri.

Tidak kiralah tawaran untuk diri sendiri mahupun di anak, Sakinah menegaskan beliau tak boleh bersikap mementingkan diri hingga memberikan kesan kepada selebriti lain.

"Saya harus selektif dan tidak boleh sesuka hati menjatuhkan harga pasaran. Jika saya bersetuju menerima sesuatu tawaran dengan harga murah, tempiasnya akan dirasa oleh artis lebih popular daripada saya dan yang masih baharu.

"Saya kena fikir perasaan orang lain. Kalau ikut hati nak bolot tawaran dengan harga murah, memang saya boleh melakukannya. Namun, kesan jangka panjang akan dirasai juga. Saya kena jaga nilai pasaran.

"Sebagai contoh, seperti artis yang memerlukan khidmat jurusolek, jangan setiap masa nak ditaja saja. Bakat orang kena dinilai. Ada harga yang perlu dibayar untuk setiap bakat yang ada di muka bumi ini," tegas wanita berusia 28 tahun ini.


INSTAGRAM milik Anais Adha.

Wujud Instagram anak

Seperti kebanyakan artis bergelar ibu atau bapa yang mewujudkan akaun laman sosial buat permata hati mereka, Sakinah dan suami juga tidak ketinggalan berbuat demikian.

"Bayangkan, sebelum anak saya lahir lagi, sudah bersepah akaun tidak rasmi yang wujud. Dari situ, ada yang ambil kesempatan membuat untung dengan ulasan promosi barangan atau perkhidmatan (review) di Instagram. Sebab itulah saya ambil langkah cepat dengan mewujudkan akaun rasmi anak di bawah nama @anais.adha.

"Ikutkan, saya tak kuasa nak buat banyak akaun Instagram. Bayangkan, keterangan gambat di akaun sendiri pun saya malas nak taip. Mujurlah ada pembantu yang menguruskan Instagram anak. Setakat ini, akaunnya lebih kepada perkongsian gambar si kecil saja," katanya.

Kembali ke gimnasium sebelum habis pantang

Wanita yang aktif bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat ini juga kembali ramping selepas melahirkan anak. Tidak mengambil masa lama untuk kembali langsing, Sakinah kini kembali menjaga diet dan rutin senamannya.

Dek komited dengan rutin penjagaan kesihatan, selang beberapa jam selepas melahirkan Anais, soalan pertama terpacul di mulutnya kepada doktor adalah berkaitan keinginan untuk kembali bersenam.

"Saya siap tanya doktor, bila boleh kembali ke gimnasium? Kalau ibu lain mungkin menggigil selepas pantang nak makan nasi, saya pula tidak sabar hendak bersenam.

"Saya mula ke gimnasium kira-kira lima minggu selepas bersalin. Ketika itu, memang belum habis pantang. Seperti biasa, tindakan saya mula dikecam dan dipersoalkan netizen. Pelbagai sumpah seranah yang datang.

"Saya tanya pihak yang lebih pakar, termasuk doktor, mereka cakap okey kalau nak bersenam. Jadi, apabila saya sudah berasa tidak lagi sakit kira-kira lima minggu selepas bersalin, saya putuskan untuk kembali ke gimnasium. Begitupun, saya bukanlah melakukan senaman berat. Saya hanya berlari di atas 'treadmill' dengan tekanan rendah.

"Saya ke gimnasium juga bukanlah kerana nak kembali ramping semata-mata. Tetapi ia memang sudah jadi tabiat saya. Boleh menggigil jadinya kalau tidak ke sana. Di Instagram pun saya selalu muat naik gambar di gimnasium hingga ada yang melabelkan saya gila. Hakikatnya, saya mahu mencipta suasana dan kesedaran untuk hidup secara sihat," katanya.

Walaupun bersenam, Sakinah mengaku dirinya tetap mengambil berat soal berpantang.

Info:

  • Sharifah Sakinah dan Aliff Adha berkahwin pada 28 Mac 2015.
  • Mereka dikurniakan anak pertama, Anais Adha, pada 24 Mei lalu.
  • Antara artis yang mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersenam.
  • Selain berlakon komedi, Sakinah juga pelakon yang sering diberikan watak serius.
  • Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Kasih Tribute P Ramlee 2016.
Berita Harian X