Sabtu, 23 November 2019 | 11:00am
Juhara antara pelakon yang bakal menjayakan pementasan teater Asiah Samiah yang mula dipertontonkan di Panggung Eksperimen ASWARA di ibu negara, mulai Khamis ini sehingga 1 Disember depan. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Teater Asiah Samiah bawa isu masyarakat

KUALA LUMPUR: Biarpun mula berlatih sejak September lalu, pengarah teater Asiah Samiah, Dr Marlenny Deen Erwan mengaku masih belum berpuas hati dengan garapannya.

Dr Maeleenny berkata, naskhah itu sangat rumit dan mencabar kemampuannya, terutama untuk memastikan khalayak memahami apa yang cuba disampaikan.

“Memang karya ini berat, tetapi ia penting untuk dibawa ke pengetahuan masyarakat kerana merakam sahsiah negara. Ia memberi maklumat kepada orang ramai mengenai apa yang berlaku dalam negara sekitar 15 tahun lalu, seperti pasca penubuhan Media Prima Berhad (MPB).

“Sukar sebenarnya hendak merealisasikan naskhah ini dalam bentuk pementasan kerana ia tiada plot yang selesai. Jadi, saya cuba tampilkan kekuatan cerita menerusi penjiwaan pelakon.

“Kami menjalani latihan sejak September dan sehingga kini, saya masih membuat penambahbaikan. Tetapi, saya beruntung kerana mempunyai barisan pelakon yang hebat,” katanya.

Asiah Samiah diterbitkan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Teater ini bakal dipentaskan sempena sambutan jubli perak institusi itu di Panggung Eksperimen ASWARA di sini, mulai Khamis ini hingga 1 Disember depan.

Tambah Dr Marlenny lagi, beliau sudah lama bercita-cita mementaskan naskhah karya Tan Sri Johan Jaaffar itu, namun memerlukan institusi besar untuk membantu merealisasikannya.

“Impian itu bagaimanapun, terlaksana apabila ASWARA sudi mementaskan teater ini,” katanya mengenai naskhah yang ditunjangi Juhara Ayub, Shahrul Mizad, Taufiq Izmer, Eliza Mustafa dan Aloeng Silalahi itu.

Asiah Samiah diangkat kerana kisahnya sangat dekat dengan isu masyarakat kontemporari.

Sementara itu, menyentuh naskhah terbabit yang mungkin mengundang sensitiviti terhadap suasana politik tanah air, dekan fakulti itu, Azizul Zahid Jamal menegaskan, sekiranya benar, ia tentu sekali tidak diguna pakai dalam subjek Bahasa Melayu Komunikatif untuk pelajar tingkatan enam.

“Setiap semester, kami akan mengadakan pementasan untuk mengumpul kembali alumni ASWARA. Kita memilih naskhah ini atas cadangan pensyarah yang dipertanggungjawabkan.

“Kita tidak berasakan ia akan menjadi isu, walaupun naskhah ini menyentuh beberapa peristiwa yang berlaku dalam negara sejak 15 hingga 20 tahun lalu,” katanya.

Teater itu mengisahkan Asiah Samiah yang dijodohkan ibu dan bapanya dengan jutawan yang sudah 20 kali mendirikan rumah tangga iaitu Misa Sagaraga.

Asiah mencintai pemuda miskin bernama Anas Samanda, tetapi bapanya berkeras menjodohkannya dengan Misa.

Bapanya mengukur kebahagiaan dengan harta dan kemewahan tanpa had. Ibu bapa Asiah sangat mengagumi Misa sebagai ahli perniagaan yang kaya dan berjaya.

Namun, kekayaan Misa sebenarnya datang daripada hasil perniagaan haram dan rasuah. Penderitaan dan konflik jiwa Asiah Samiah semakin melebar apabila Misa merancang untuk mengubah keperibadian Melayu dalam diri Asiah ke arah kebaratan.

Pementasan pada Sabtu dan Ahad akan berlangsung dalam dua sesi iaitu jam 3.30 petang dan 8.30 malam. Tiket berharga RM 25 (pelajar) dan RM55 (umum).

Berita Harian X