Isnin, 18 November 2019 | 5:39pm
IDHAM memaklumkan, FINAS sentiasa mencari jalan terbaik untuk memperkasa pengisian kandungan digital yang memberi impak positif kepada masyarakat. - NSTP/Aswadi Alias

'FINAS tiada kuasa tapis pengisian kandungan digital'

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, menjelaskan badan itu tiada kuasa menapis isi kandungan digital, sebaliknya berusaha memperkasakan kandungan tempatan yang memberi impak positif.

Katanya, dia hanya mengajukan saranan kerjasama antara FINAS dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) menganjurkan forum atau seminar bagi membincangkan isi kandungan cerita dalam talian yang tidak ditapis.

“Saya ingin jelaskan mengenai kenyataan media mengatakan FINAS akan mengusulkan kepada kerajaan untuk menapis kandungan Netflix.

“Untuk makluman, FINAS tiada kuasa menapis, tetapi dalam konteks kandungan digital, kami sentiasa mencari jalan terbaik memperkasakan kandungan tempatan supaya memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

“Apa yang saya cadangkan adalah mengadakan kerjasama antara FINAS dan NCWO mewujudkan forum atau seminar membahaskan isu ini dalam konteks memperkasakan kandungan digital pada masa akan datang.

“Saya hanya mengutarakan keluhan ibu bapa pada era siber yang bertanya mengenai kemasukan cerita yang tidak ditapis,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Beliau berkata demikian bagi memperjelaskan laporan media, semalam yang memetik kenyataannya supaya kerajaan mengawal selia kandungan digital, termasuk Netflix.

Saranan itu dikongsi Ahmad Idham pada majlis Forum Keluarga Sejahtera 2019 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kelmarin.

Susulan kenyataan itu, ramai membidas dan mempertikaikan usul berkenaan kerana tiada keperluan membuat tapisan disebabkan langganan Netflix disediakan bersama dengan tetapan kawalan isi kandungan.

Berita Harian X