Isnin, 9 September 2019 | 7:28pm
SHIRAZDEEN memberi jaminan Konsert Reunion Exists 2019 tetap diteruskan seperti dirancang. Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Konsert Reunion Exists 2019 diteruskan

KUALA LUMPUR: Penganjur Konsert Reunion Exists 2019, Shiraz Project memberi jaminan acara yang menggabungkan ahli band popular era 1990-an itu tetap diteruskan pada 28 September ini.

Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada peminat berhubung status konsert selepas kecoh kes penangkapan bekas vokalis sebuah band popular yang memiliki dadah jenis syabu, malam tadi.

“Apa yang dapat saya katakan, pihak kami masih menunggu perkembangan mutakhir berhubung kejadian itu.

“Secara peribadi, berita itu amat mengejutkan kerana tiada siapa dalam pasukan produksi mahu keadaan seperti ini terjadi, lebih-lebih lagi menjelang konsert Reunion Exists,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

BH Online melaporkan penahanan bekas vokalis kumpulan muzik terkemuka 1990-an ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, malam tadi kerana memiliki sejumlah dadah.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan realiti televisyen empat tahun lalu, ditahan bersama seorang rakannya kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan selepas polis peronda yang melakukan pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai syabu dalam pemilikan mereka.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

Shiraz berkata, pihaknya menerima banyak mesej dan panggilan daripada peminat berhubung status konsert terbabit.

“Kami memahami sentimen yang bermain dalam fikiran peminat. Sebagai menjawab tanda tanya itu, apa yang boleh saya katakan, terlalu awal untuk kita semua membuat keputusan.

“Bagaimanapun, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan kami serahkan pada pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Menurut Shiraz, pihaknya akan bertemu dan berbincang dengan anggota Exists bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap kes terbabit.

“Kami akan berkongsi perkembangan perkara ini dari semasa ke semasa,” janjinya.

Sementara itu, jurucakap Exists tetap positif konsert itu dapat dilaksanakan seperti dirancang.

“Ini ujian awal untuk kami. Kami harap peminat akan terus mendoakan yang terbaik untuk konsert reunion kami ini,” katanya.

2592 dibaca
Berita Harian X