Jumaat, 23 Ogos 2019 | 9:28pm
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak (barisan belakang, enam dari kanan) dan Pengarah Unit Pengurusan Aset Digital, Animasi, Pelesenan dan Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Airin Zainul (barisan belakang, tengah) bergambar bersama selebriti yang hadir pada sidang media Cantix di Balai Berita NSTP, Bangsar. - STU/Syakirah Azhar

Cantix pasar produk selebriti

KUALA LUMPUR: Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (RTMPB) menerusi Xtra memperkenalkan portal e-niaga yang menghimpunkan variasi barangan jenama selebriti, Cantix, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ishak, berkata sebagai permulaan, operasi Cantix di laman sesawang www.cantix.com.my menyenaraikan produk 17 artis dan personaliti popular yang dijangka meningkat hingga 40 jenama menjelang akhir tahun ini.

“Dalam era digital, penggunaan media sosial semakin berganda apabila segala-galanya hanya di hujung jari, sekali gus menjadikan ia sebagai platform perniagaan berpotensi untuk berkembang maju.

"Pelancaran Cantix yang juga landasan khas untuk mereka melaksanakan urus niaga dalam talian secara profesional turut membuka peluang lebih luas bagi promosi dan pasaran menyeluruh.

"Sebanyak 17 jenama selebriti boleh didapati di Cantix, malah jumlahnya dijangka bertambah sehingga akhir tahun ini melihatkan prospek pasaran," katanya pada majlis pelancaran portal e-niaga itu di Balai Berita, di sini, hari ini.

Barisan selebriti yang menyaksikan produk mereka dijual menerusi portal e-niaga berkenaan ialah Nora Danish, Dynas Mokhtar, Nana Mahzan, Zoey Rahman, Scha Fadly, Datuk AC Mizal, Karl Shafek, Eika Azam dan karakter animasi popular, Ejen Ali.

Kata Johan, Cantix juga bakal menjadi portal e-niaga interaktif pertama di Malaysia yang membenarkan penstriman langsung oleh peniaga membabitkan ulasan produk, selain menawarkan kemudahan sistem ‘dropship’.

"Pelbagai barangan gaya hidup ditawarkan dalam Cantix meliputi kosmetik, pakaian, barang kemas, hiasan diri dan tidak ketinggalan produk 'preloved' selebriti yang boleh dihantar terus kepada pembeli.

"Barangan yang dipesan akan dihantar secara langsung ke lokasi pelanggan. Setiap proses belian produk secara dalam talian pula boleh dipantau sehingga ia tiba ke destinasi pembeli.

"Kemudahan pembelian juga mudah apabila pelanggan boleh membuat pilihan, tambahan ke troli pengguna dan melengkapkan transaksi pembayaran menggunakan kad kredit, debit atau perbankan dalam talian," katanya lagi.

Pada masa sama, Cantix bekerjasama dengan beberapa rakan strategik untuk menambah penyertaan daripada selebriti luar negara, khususnya dari rantau Asia Tenggara.

Berita Harian X