Jumaat, 23 Ogos 2019 | 4:36pm
PENGERUSI NUJ NSTP, Farah Marshita Abdul Patah (lima dari kanan) menerima sumbangan dan barang keperluan daripada kelab peminat dan artis pada Kempen Bantuan Kumpulan Utusan Malaysia, di Balai Berita NSTP, Bangsar. - NSTP/Aziah Azmee

Kelab peminat artis hulur sumbangan

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan nasib kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo!, beberapa kelab peminat tampil menghulurkan bantuan kepada pihak berkenaan di Balai Berita, di sini, hari ini.

Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan harian itu disampaikan mereka pada acara Kempen Bantuan Kumpulan Utusan Malaysia anjuran Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) New Straits Times Press (NSTP).

Wakil kelab peminat Mira Filzah, Miraclegacy, Ross Harun, 50, berkata sumbangan ikhlas itu bagi membantu meringankan beban kakitangan dua akhbar berkenaan.

“Sumbangan ini adalah tanda sokongan kami kepada kedua-dua kakitangan akhbar terbabit. Mereka antara media yang banyak menaikkan nama artis kita, jadi inilah peluang untuk kami selaku kelab peminat membantu mereka tatkala memerlukan.

“Walaupun sumbangan tidak seberapa, kami berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka pada saat yang mungkin agak sukar,” katanya kepada BH Online.

Wakil kepada beberapa kelab peminat, Mohd Najib Ahmad, 38, turut berharap sumbangan dikutip sesama mereka mampu meringankan beban kira-kira 250 ahli kesatuan NUJ terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik akhbar terbabit yang dilaporkan berdepan masalah gaji, sejak beberapa bulan lalu.

“Sumbangan ini dikutip daripada lima kelab peminat, iaitu Haiza Troopers, Amelinasoul, Zarazyaloverz, We Love Fasha Sandha dan Hearty Sarah.

“Kami cukup memahami keadaan mereka yang tidak mendapat gaji, terutama pada masa sekarang,” katanya.

Wakil Khai Bahar Empire, Farahah Osman, 40, pula berkata, sumbangan dihulurkan hari ini adalah sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat kelab peminat penyanyi Luluh berkenaan.

Katanya, kelab terbabit bukan sekadar memberikan sokongan kepada artis tempatan, malah seluruh industri berkaitan.

Baru-baru ini, tersebar desas-desus Utusan yang ditubuhkan pada 1939 dengan penerbitan pertamanya dalam Jawi itu akan menghentikan operasi ekoran masalah pembayaran gaji kepada kira-kira 800 pekerja, yang dilaporkan tertunggak sejak tiga bulan lalu.

Begitupun, pihak pengurusan syarikat penerbitan akhbar itu mengumumkan tidak akan menutup operasi syarikat berkenaan dengan membayar gaji pendahuluan dan mengambil langkah menaikkan harga Utusan Malaysia dan Kosmo! sebanyak 50 sen senaskah, sebagai tambahan pulangan kepada syarikat.

Berita Harian X