Khamis, 22 Ogos 2019 | 9:00am
PENYANYI, Siti Nordiana, akan turut memeriahkan siri jelajah ABPBH 32 di Aman Central, Alor Setar, Kedah, pada 24 Ogos ini. - NSTP
PELAKON, Atiq Azman. - NSTP
BAKAT baharu, Adam Lee, akan turut berada di Alor Setar, Sabtu ini, sempena siri jelajah ABPBH 32. - NSTP
CALON Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Afieq Shazwan. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Calon Top 5 ABPBH 32 gegar Alor Setar Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Selepas menambat hati peminat di selatan tanah air pada 3 Ogos lalu, siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 bakal menggegarkan pula Aman Central, Alor Setar, Kedah, Sabtu ini.

Siri jelajah kedua itu akan dihangatkan dengan kemunculan barisan calon Top 5 anugerah terbabit seperti Siti Nordiana, Delimawati, Afieq Shazwan, Adam Lee, Atiq Azman, Ryan Deedat dan kumpulan Insomniacks.

Sempena acara itu, pelbagai pengisian diaturkan di ruang legar utama pusat beli-belah berkenaan, bermula jam 10 pagi sehingga 6 petang.

Selain aktiviti persembahan di pentas, penaja utama ABPBH 32, Alha Alfa Cosmetics, bakal membuka gerai bagi membolehkan peminat dan pengunjung mengenali lebih dekat seterusnya mendapatkan produk keluaran mereka.

Penaja bersama, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), iaitu pengendali perkhidmatan pembayaran elektronik, DuitNow, pula akan memperkenalkan produk syarikat itu yang menjadi medium peminat melanggan akhbar digital BH sempena promosi ABPBH 32.


PELAKON, Delimawati, sentiasa menghargai peminatnya. - NSTP

Sementara itu, calon Top 5 kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Delimawati Ismail, 61, mahu menggunakan peluang berkenaan untuk menghargai sokongan peminat sehingga dia layak dicalonkan ke peringkat akhir, selepas tiga dekad bergelar anak seni.

“Sebagai artis, kita tidak boleh bersikap sombong kerana tanpa peminat, siapalah kita di arena seni?

“Apapun, bukan sekadar di siri jelajah, malah kalau berjumpa peminat di mana-mana sekalipun, saya tetap melayan mereka dengan baik. Apa salahnya kita luangkan sedikit masa untuk mereka, termasuk ketika diajak bergambar?” kata bintang Hantu Kak Limah itu yang kini menjalani penggambaran drama di Bota, Perak.

Insomniacks yang julung kali tersenarai sebagai calon Top 5 ABPBH, menerusi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, juga tidak sabar untuk bertemu peminat di utara tanah air.


KUMPULAN Insomniacks teruja untuk bertemu peminat di Kedah. - NSTP

Pemain bes kumpulan itu, Wan Arif Iskandar, berkata mereka sememangnya menunggu peluang untuk bertemu peminat di luar Kuala Lumpur.

“Insomniacks sangat teruja untuk menyertai siri jelajah ini, apatah lagi kami banyak menerima permintaan peminat supaya datang ke Kedah. Kami sendiri sangat seronok apabila menjelajah bersama-sama sebagai sebuah kumpulan, justeru peluang sebegini memang takkan dilepaskan,” katanya.

Selain Iskandar, kumpulan yang popular dengan lagu Pulang itu turut dianggotai oleh Syed Mir Iqbal selaku vokalis dan pemain gitar utama; Gavin Wong (dram); serta Ahmad Danial (gitar).

Bagi calon Artis Baharu Lelaki Popular, Ryan, jika boleh dia mahu menjayakan semua acara promosi anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.


CALON Top ABPBH 32, Ryan Deedat, akan memperdengarkan single baharu pada siri jelajah ABPBH 32 di Alor Setar, Sabtu ini. - NSTP

Pernah menyertai siri jelajah pertama di Komtar JBCC, Johor Bahru, katanya, acara itu menjadi ruang buatnya mendekatkan diri dengan penyokong.

“Saya cukup gembira apabila kali kedua dapat menyertai siri jelajah ABPBH 32. Lebih-lebih lagi, inilah kali pertama saya akan mengadakan persembahan di Kedah. Ia juga peluang untuk bertemu dengan peminat di utara yang turut mengundi saya.

“Siri jelajah ABPBH juga pengalaman menyeronokkan kerana anggota rombongan bagaikan sebuah ‘team’ yang serasi. Ia pengalaman mahal yang akan dikenang sampai bila-bila,” katanya yang akan memperdengarkan lagu baharu ciptaan Aepul Roza, Jika Memang Harus, khusus buat peminat di sana.

Sebelum bertolak ke Kedah, esok, artis dan kelab peminat akan menyertai program amal penyampaian sumbangan kepada kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! di Balai Berita, Bangsar. Acara berkenaan dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) New Straits Times Press (NSTP).

Antara kelab peminat yang akan sama-sama menghulurkan sumbangan ialah Haiza Troopers, Hearty Sarah, Amelinasoul, Khai Bahar Empire, Miraclegacy dan Zarazyaloverz.

Sebelum malam kemuncak ABPBH 32 berlangsung pada 22 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), acara santai bersama kelab peminat iaitu #FANtastik dan showcase akan diadakan di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor, pada 14 September.

Berita Harian X