Ahad, 4 Ogos 2019 | 4:13pm
CALON awal ABPBH 32 iaitu Emma Maembong bersama Adam Lee dan Kanda Khairul (tiga kanan) menziarahi cucu vokalis Zabarjad yang menghidap kanser di Hospital Sultan Ismail. Foto Nurul Syazana Rose Razman

Cucu vokalis Zabarjad hidap kanser saraf tahap empat

JOHOR BAHRU: Cucu kepada penyanyi kumpulan Zabarjad, Malek, iaitu Mawar Hananiah Mohd Izat Hakim, 2, menghidap kanser Neuroblastoma tahap empat.

Malek atau nama sebenarnya Ab Malek Mohd Amil @ Mohd Amir, 50, berkata, cucunya yang mesra dipanggil Nia itu dikesan menghidap penyakit saraf itu ketika usianya menginjak setahun lebih.

“Nia baru menjalani kimoterapi terakhir selepas sambutan Aidilfitri lalu. Dia bagaimanapun, dibenarkan pulang dengan pengawasan rapi oleh ayah dan ibunya.

“Tetapi, Jumaat lalu, dia mengalami demam panas dan doktor nasihatkan kami supaya terus mendapatkan pemeriksaan di hospital. Jika lihat keadaan Nia, badannya agak lemah, tetapi Allah kurniakan dia semangat yang kuat.

“Semangatnya itu memberikan kami sekeluarga kekuatan untuk terus tabah mengharungi dugaan ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail, di sini, tengah hari tadi.

Aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 itu disertai barisan selebriti yang juga calon awal iaitu Emma Maembong, Adam Lee dan Kanda Khairul, selain She Pandora.

Yang turut serta Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

Sementara itu, sebagai usaha mencari dana, Malek bekerjasama dengan beberapa rakan menganjurkan persembahan busking di beberapa lokasi.

Kata Malek, dia bersyukur masih ramai rakan yang bersedia membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, cadangan untuk mengumpul wang menerusi persembahan busking diterima kawan-kawan yang begitu bersemangat membantu cucu saya.

“Tidak sangka pula, sebelum ini saya sering memenuhi undangan nyanyian untuk menghiburkan pesakit kanser, tetapi sekarang keluarga saya turut melalui ujian itu,” katanya.

Mawar ialah cucu sulung hasil perkahwinan anak lelaki keduanya, Mohd Izat Hakim atau Izat.

Malek berkata, anaknya yang sebelum ini bertugas di sebuah syarikat perumahan terpaksa berhenti kerja dan melakukan kerja sambilan supaya lebih mudah menjaga cucunya.

Sementara itu, ibu Nia, Siti Maryiam Edran, 28, bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital di sini.

Berita Harian X