Sabtu, 3 Ogos 2019 | 7:01pm
PENYANYI, Luqman Faiz, menghiburkan peminat pada siri jelajah ABPBH 32, di Komtar JBCC. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
DATUK Alha Alfa melakukan demonstrasi solekan menggunakan produk keluaran syarikat beliau pada siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
CALON awal APBBH 32 melawat gerai DuitNow bagi mempromosikan undian ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Siri jelajah ABPBH 32 dapat sambutan hangat

JOHOR BAHRU: Rindu peminat terhadap siri jelajah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) terubat apabila sesi bertemu penyokong dan persembahan artis sempena edisi ke-32 di sini, hari ini, mendapat sambutan hangat.

Program Alha Alfa Cosmetics Mewarnai Siri Jelajah ABPBH 32 di pusat beli-belah Komtar JBCC, di sini, bukan sekadar menghimpunkan peminat di bandar raya ini dan daerah berdekatan, malah sebahagiannya datang dari Singapura.

Masing-masing enggan melepaskan peluang bertemu artis kesayangan yang dicalonkan pada anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu.

Pada siri jelajah pertama, 15 artis menggegarkan Komtar JBCC iaitu Emma Maembong, DJ Lin, Ryan Reedat, Tuah Adzmi, Afieq Shazwan, Kanda Khairul, Aiman Tino, Muna Shahirah, Uchop Ahmad, Adam Lee, Erwin Dawson, Luqman Faiz, Ara Johari, One Avenue Band dan Haiza yang turut menjadi hos dengan dibantu MC Fuzz.

Haiza, yang juga calon Penyampai Radio Popular, membuka tirai persembahan dengan lagu terbarunya, Young And Gentleman, kira-kira jam 2 petang.


GELAGAT pengacara, Haiza (kiri) bersama artis dan peminat pada Jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Kehangatan siri jelajah diteruskan dengan kemunculan kumpulan One Avenue Band yang mendendangkan lagu keramat mereka, Kisah Antara Kita, diikuti medley Anugerah Paling Terindah, Vroom Vroom (dendangan asal Nabila Razali) serta Bunga (Altimet).

Calon Artis Baharu Lelaki Popular, Ryan Deedat, pula mempersembahkan single yang memperkenalkan namanya di arena seni, Salimah dan Pesan (Irfan Haris), manakala bintang baharu FMC Music, Tuah Adzmi, mendendangkan Airmata Rindu dan Insan Kau Cinta.


RYAN Deedat ketika membuat persembahan pada siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon, Afieq Shazwan, pula mencairkan hati peminat dan pengunjung pusat beli-belah berkenaan dengan lagu popularnya, Seandainya serta Darjat.

Tidak ketinggalan menghangatkan acara ialah Kanda Khairul yang menyampaikan lagu Atiqah Songket. Malah, Khairul turut menghadiah kaca mata hitam untuk peminat yang ‘sporting’.


SEKITAR siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Kemunculan penyanyi remaja yang meledak dengan lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino, antara ditunggu peminat. Pada siri jelajah kali ini, dia menghiburkan mereka dengan lagu popularnya itu, selain single Ku Hanya Sayang Padamu.

Bintang dalam ciptaan, Muna Shahirah, menghangatkan lagi suasana dengan single yang kini semakin mendapat tempat di hati penggemar muzik, Teguh Setia, dan Temberang.


AKSI Muna Shahirah dan peminat serta teman artis pada siri jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Ketika mendendangkan lagu rancak nyanyian asal Ayda Jebat itu, beberapa teman artis turut menaiki pentas, bersama-sama peminat bertuah, yang tentu sahaja mencetuskan tawa penonton dengan gelagat masing-masing.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kedua, Uchop Ahmad, pula memukau khalayak dengan lagu Bisa Pertama dan Romancinta (Mojo), sementara artis muda berbakat besar, Luqman Faiz, memikat hati penyokong setianya dengan Kepuraanmu dan Takhta Cinta.


UCHOP Ahmad ketika menjayakan persembahan pada siri jelajah ABPBH 32, di Komtar JBCC. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Menutup tirai persembahan ialah Ara Johari yang menghadiahkan lagu siulan ramai, Warkah Untukku dan Bunga, buat peminat di selatan tanah air.

Sementara itu, penyampai radio, DJ Lin dan pelakon, Adam Lee, Erwin Dawson dan Emma Maembong menjayakan sesi soal jawab mengenai ABPBH 32 dan cabutan bertuah.

Emma, DJ Lin, Ara dan Muna juga menjayakan sesi menata rias peminat dengan Datuk Alha Alfa bertindak sebagai juri.

Siri jelajah ABPBH 32 akan diteruskan di Alor Setar, Kedah pada 24 Ogos ini.

Lagi gambar sekitar jelajah ABPBH 32 di Komtar JBCC, hari ini: http://www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2019/08/592303/jelajah-abpbh-...

322 dibaca
Berita Harian X