Selasa, 16 Julai 2019 | 1:18pm

Lafaz cerai Radhi OAG sah

PETALING JAYA: Perkahwinan penyanyi kumpulan OAG, Radhi dan isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri terlerai selepas pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini, hari ini.

Hakim Syarie Husaini Roslin membuat keputusan itu selepas mendapati lafaz diucapkan defendan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 41, terhadap Nur Shahira Ayu atau Ayu, 25, selaku plaintif pada 25 Mac lalu adalah sah dan mengikut syarak.

Husaini kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam daerah Petaling dan sijil nikah dibatalkan.

“Walaupun Radhi tidak mengingati perkataan yang dinyatakan terhadap isterinya, namun lafaz itu adalah terpakai mengikut syarie.

“Mahkamah meluluskan tuntutan plaintif berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Mahkamah mensabitkan lafaz yang dibuat di luar dan tanpa kebenaran mahkamah pada 25 Mac lalu, jam 4.20 pagi adalah sah dan jatuh talak raj’ie, “katanya.

Prosiding ditetapkan untuk Radhi membuat sumpah nafi susulan keterangannya kepada mahkamah pada tarikh lalu bahawa dia tidak mengingati lafaz yang dibuat kepada Ayu pada hari kejadian.

Sumpah nafi ialah sumpah yang perlu dibuat seseorang individu bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah menjatuhkan sesuatu keputusan.

Terdahulu, di awal prosiding, ketika disoal mahkamah adakah Radhi masih konsisten dengan keterangannya seperti tarikh lalu atau ada pindaan, penyanyi itu berkata,

“Saya tidak nafi (melafazkan cerai). Cumanya, saya tidak ingat perkataan yang digunakan adalah cerai, lepas, blah dan chow.

“Namun, saya akui memang ada cakap perkataan itu ketika itu,” katanya.

Husaini berkata walaupun tidak ingat satu perkataan, Radhi masih perlu melafazkan sumpah nafi kerana Ayu masih konsisten dengan dakwaannya bahawa Radhi melafazkan ‘Aku cerai kau dengan talak satu’.

Selepas mendengar penerangan mahkamah, Radhi kemudian mengubah fikiran dan akhirnya bersetuju dengan dakwaan yang dikemukakan Ayu.

Ayu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu pada 3 Jun lalu.

Pasangan itu masing-masing tidak diwakili peguam dan hadir secara berasingan.

Sementara itu, Radhi ketika ditemui di luar mahkamah berkata dia akan membuat permohonan rujuk terhadap bekas isterinya itu.

“Allah sudah bagi jalan untuk rujuk, jadi langkah seterusnya adalah untuk memfailkan proses rujuk.

“Pada saya, ini adalah pengajaran buat saya dan ingin rujuk dengan isteri demi kepentingan anak-anak,” katanya.

Ayu pula memberitahu media dirinya masih tidak fikirkan soal rujuk kerana perlu masa untuk uruskan dirinya.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Sebelum ini, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun.

2307 dibaca
Perkahwinan Radhi dan Nur Shahira terlerai selepas pasangan itu disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Berita Harian X