Rabu, 15 Mei 2019 | 4:56pm
HATHIM Thai, menerima kunjungan penyanyi, Amy Mastura, Heliza Helmi dan jurusolek terkenal, Datuk Alha Alfa, di kediamannya di Setapak, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

'Selagi terdaya, saya enggan susahkan sesiapa'

KUALA LUMPUR: “Bukan saya tidak mahu meminta tolong daripada orang lain. Namun, selagi terdaya, jika boleh saya tidak mahu menyusahkan sesiapa.”

Demikian kata jurusolek berpengalaman, Hathim Thai, 47, yang menghidap beberapa penyakit dan berdepan kesempitan hidup, sejak lima tahun lalu.

Seboleh-bolehnya enggan menghebahkan kesukaran dihadapi, kepayahan ditanggung lelaki itu terbongkar apabila Persatuan Malaysia Makeup Artist (MMA) bersama kru program Wanita Hari Ini dan Nona TV3 melawatnya, baru-baru ini.

Menurut Hathim atau nama penuhnya Hatim Thai Ahmad Nordin, dia tetap bersyukur kerana sepanjang diri diuji, rezekinya tetap ada walaupun tidak banyak.

Dia juga berkata, anak angkatnya, Hadzriq Hadkim, 10, yang dijaga sejak usianya tiga hari menjadi azimat dan kekuatan untuk dia meneruskan hidup.

“Saya kini berharap agar terus dipanjangkan umur supaya dapat membesar dan mendidik anak saya.

“Biarlah saya hidup hingga dia tamat belajar dan bekerja. Selepas itu, saya reda andai nyawa dicabut daripada tubuh.

“Saya sanggup menahan lapar asalkan anak dapat makan. Saya bagaimanapun bersyukur kerana dia bukan anak yang meminta-minta dan faham keadaan yang saya lalui,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini, sewaktu menerima kunjungan penyanyi, Amy Mastura dan Heliza Helmi, serta jurusolek terkenal, Datuk Alha Alfa.

Menghidap beberapa penyakit seperti anemia atau kurang sel darah merah, buah pinggang dan penglihatan kabur, Hathim terbuka jika ada pihak ingin menghulurkan bantuan.

“Kalau ada yang ingin membantu, saya alu-alukan. Selama ini pun, rawatan dialisis saya ditanggung oleh pihak Baitulmal, selain menerima RM350 sebulan untuk perbelanjaan,” katanya.

Kisah penderitaan Hathim yang pernah menatarias artis popular termasuk Amy dan Ziana Zain mendapat perhatian ramai, baru-baru ini, selepas ia tular di laman sosial.

Berita Harian X