Isnin, 13 Mei 2019 | 3:35pm
Deqsha (kiri) tidak dapat menahan air mata ketika melihat Hathim yang semakin uzur, ketika berkunjung ke rumahnya, Jumaat lalu. - Ihsan Deqsha

Ramai tampil bantu Hathim

KUALA LUMPUR: Kepayahan hidup jurusolek ‘otai’, Hathim Thai yang pernah menata rias wajah artis popular seperti Amy Mastura dan Ziana Zain, mendapat pembelaan pelbagai pihak selepas tular dalam media sosial, sejak beberapa hari lalu.

Hathim atau nama sebenarnya, Hatim Thai Ahmad Nordin ketika ini uzur dan berdepan beberapa komplikasi seperti anemia atau kurang darah, buah pinggang tidak berfungsi dan penglihatan kabur.

Inisiatif Persatuan Malaysia Makeup Artis (MMA) melawat Hathim dalam program Ziarah Sahur bersama kru Wanita Hari Ini (WHI) dan Nona terbitan TV3, Jumaat lalu, menarik perhatian ramai terhadap nasib yang menimpa jurusolek itu.

Dalam program itu, lebih 49 jurusolek termasuk jurumekap muda atau ‘junior’ yang diketuai Deqsha dan Sheila Mohamad, bertemu Hathim dan melihat sendiri keadaan dirinya bersama anak angkat berusia 10 tahun.

Deqsha berkata, persatuan prihatin dan terharu melihat nasib Hathim yang sudah tidak mampu bekerja.

“Dalam kita bergembira, rupa rupanya ada dalam kalangan teman jurusolek yang bergelut dengan bermacam-macam ujian seperti Hathim.


Kumpulan jurusolek serta kru WHI dan Nona terbitan TV3 yang melawat Hathim, Jumaat lalu. - Ihsan Deqsha

“Melihat keadaannya, kami cukup terharu hingga tidak dapat menahan air mata mengenang nasibnya.

“Hathim sudah tidak bekerja kerana mengidap anemia. Buah pinggangnya juga sudah tidak berfungsi dengan penglihatan tidak secerah dulu.

“Sekarang dia menyara hidup bersama anak angkat berusia 10 tahun dengan bantuan ihsan Lembaga Zakat,” katanya kepada BH Online.

Deqsha berkata, Hathim sudah tiga tahun tidak menyambut Aidilfitri berikutan kesempitan hidup dan masalah kesihatan.

“Baju raya dia dan anak tidak pernah berganti baharu. Rumahnya juga sudah tidak terurus.

“Kami hadiahkan sepasang baju raya berwarna merah jambu untuk dirinya dan anak lelaki yang dipelihara atas tajaan syarikat tekstil, Jakel. Selain itu, kami menyerahkan derma yang dikumpul daripada ahli persatuan kepada Hathim,” katanya.

Sementara itu, Sheila berkata, beberapa program lain dirancang untuk membantu meringankan beban Hathim.

“Insya-Allah, kami akan meraikan hari jadi Hathim dengan berbuka bersama. Penyanyi Jaclyn Victor beritahu hari jadi Hathim yang ke-48, Ahad ini,” katanya.

Sheila berkata, MMA juga merancang mencuci dan mengemas rumah Hathim di Setapak, beberapa hari sebelum Aidilfitri.

Berita Harian X