Selasa, 30 April 2019 | 3:46pm
DRAMA Nur 2 meraih 10 juta tontonan secara terkumpul dengan episod terakhirnya mencatat 3.6 juta penonton. - Foto ihsan TV3

Mungkin ke pentas teater, 10 juta tonton Nur 2

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah drama Nur, Shahrulezad Mohameddin, mengaku ada menerima pelawaan daripada Istana Budaya untuk mementaskan drama berkenaan di gelanggang seni cukup berprestij itu.

Menyambut baik pelawaan terbabit, katanya, jika dapat direalisasikan, ia bakal menjadi projek pementasan teater sulung buat produksinya, Radius One, selain menambah portfolio syarikat berkenaan.

“Siapa yang tidak mahu mengubah angin dari layar kecil ke pentas teater? Pihak TV3 juga teruja dengan perkembangan berkenaan kerana ia menjadi ruang untuk kami terus memperkembangkan jenama dan naskhah Nur.

“Bagaimanapun, kami mungkin berdepan masalah jika ia hendak dipentaskan pada tahun ini juga, terutama dalam kalangan pelakon, kerana sebahagiannya sudah terikat dengan komitmen lain.

“Andai perancangan pementasan dianjak ke tahun hadapan, rasanya ia lebih baik. Ia juga masih bergantung kepada persetujuan barisan pelakon dan mendapat sokongan ramai. Selain itu, faktor masa turut memainkan peranan,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, hari ini.

Kata Shahrulezad, buat waktu ini mereka belum mengadakan perbincangan lebih lanjut bersama pihak Istana Budaya, apatah lagi dirinya sibuk dengan penggambaran drama, Cari Aku Di Syurga, untuk siaran Ramadan, juga menerusi TV3.

Ditanya mengenai kemungkinan kisah Nur disambung lagi untuk musim ketiga, sebagai pengarah dia tidak mempunyai masalah untuk berbuat demikian.


PENGARAH, Shahrulezad Mohameddin, menggenggam trofi Drama Rantaian Terbaik (Bahasa Melayu) untuk Nur pada Anugerah Skrin 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Aziah Azmee

“Malah, sebagai penulis skrip, banyak lagi isu dan perkara yang saya boleh ketengahkan dalam kisah seterusnya. Pihak TV3 juga semestinya berminat untuk menyiarkan kisah susulan Nur, namun semuanya berbalik kepada jadual kerja pelakon.

“Begitupun, ada juga pihak berasakan drama ini tidak lagi perlu disambung. Saya sendiri tidak menafikan wujudnya risiko apabila menyambung cerita yang pernah mendapat perhatian ramai. Perasaan sama saya alami sewaktu hendak menghasilkan Nur 2. Saya tidak dapat lari daripada dilanda kebimbangan.

“Selalunya, sambutan terhadap cerita susulan akan jatuh mendadak. Jadi, saya memang tak sangka apabila Nur 2 masih mendapat sokongan ramai,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan dikeluarkan TV3, hari ini, Nur 2 yang menamatkan siarannya 25 April lalu berjaya meraih 10 juta tontonan terkumpul. Episod terakhirnya pula mencatat 3.6 juta tontonan.

Dihasilkan sebanyak 15 episod, Nur 2 membariskan pelakon seperti Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah, Azhan Rani, Azar Azmi, Fatimah Abu Bakar, Datuk Jalaluddin Hassan, Eyra Hazali, Raja Atiq dan Uchee Fukada.

“Saya percaya, apa yang kami raih hari ini adalah hasil usaha semua pihak terbabit dalam drama ini. Seluruh tenaga kerja dan pelakon berasa dihargai apabila ia mampu mencatat jumlah tontonan tinggi. Ia turut menjadi suntikan semangat buat kami semua,” katanya.

1473 dibaca
Berita Harian X