Ahad, 28 April 2019 | 12:11am
STEVEN Seagal meluangkan masa bertemu peminatnya ketika hadir ke sidang media di Kuching Old Courthouse. - Foto Hazreen Mohamad

Bintang Hollywood Steven Seagal hadir sesi temui peminat

KUCHING: Ratusan peminat pelakon aksi Hollywood Steven Seagal berkumpul di Bangunan Mahkamah Lama, di sini hari ini untuk bertemu dengan bintang tersohor itu pada sesi bertemu peminat.

Seagal berada di sini memenuhi jemputan sebagai tetamu kehormat Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa ASEAN (AIFFA), yang berlangsung malam ini.

Peminat tempatan dan asing tidak melepaskan peluang menanti aktor pujaan mereka selepas menunggu hampir tiga jam untuk bertemu dan mendapatkan tandatangan bintang filem aksi Hollywood itu yang terkenal dalam filem Under Siege (1992) dan Above The Law (1988).

Warga tempatan, Gilbert Sanuang, 31, berkata beliau datang dari Miri bersama rakannya semata-mata untuk bertemu idola mereka yang terkenal dalam filem aksi seni mempertahankan diri.

“Walaupun hari ini adalah hari bekerja, saya sanggup mengambil cuti hari ini sehingga Ahad semata-mata untuk menghadiri majlis ini,” katanya.

Anugerah AIFFA adalah acara dwitahunan untuk pembuat filem dari 10 negara anggota ASEAN dan mula dianjurkan sejak 2013 yang menawarkan 17 kategori merangkumi semua aspek utama bidang kreatif dan teknikal pembuatan filem.

Sementara itu Seagal pada sidang media berkata beliau akan datang kembali ke Sarawak pada masa depan bukan sebagai pelancong tetapi untuk penggambaran filem.

“Sudah pasti, saya akan kembali semula ke sini dan melakukan penggambaran di sini. Mungkin untuk filem aksi,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengalu-alukan hasrat aktor Hollywood itu.

“Negeri ini sudah pasti akan menyokong penuh hasrat Seagal itu,” katanya. - BERNAMA

936 dibaca
Berita Harian X