Khamis, 25 April 2019 | 2:34pm
PENYANYI, Andi Bernadee (kiri) dan Indah Ruhaila, antara artis terkenal yang bakal memeriahkan acara KEK 2019 di Sunway City. - Foto Faiz Anuar

Artis terkenal meriahkan KEK 2019

KUALA LUMPUR: Siri jelajah Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019 pertama dan terbesar di Malaysia akhirnya tiba ke kemuncak, Jumaat dan Sabtu ini.

Acara bagi mencari pasukan e-sukan institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik di seluruh negara itu akan berlangsung di Sunway Pyramid Ice Rink, Sunway City.

Siri jelajah berkenaan sebelum ini singgah di Universiti Teknologi Petronas, Perak; Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Melaka; Universiti Malaysia Sabah, Sabah; UiTM Puncak Alam, Selangor; dan Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

Acara anjuran Media Prima Digital menerusi portal permainannya, MyGameOn, dan rakan strategik, Kitamen, itu menawarkan hadiah tunai terkumpul RM180,000.

Dicetuskan oleh XPAX, acara terbabit bakal menyaksikan lebih 30 pasukan IPT bersaing merebut trofi bagi setiap kategori, sekali gus memburu gelaran keseluruhan.

Selain itu, IPT dengan pasukan paling banyak mencatat kemenangan turut berpeluang menerima biasiswa bernilai RM50,000.

Kejohanan selama dua hari yang mendapat kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu menampilkan tiga permainan popular Mobile Legends Bang Bang, Pro Evolution Soccer 2019 (PES 2019) dan DOTA 2.

Selain menyaksikan pertandingan, pengunjung juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik.

Pada kemuncak acara pula, orang ramai bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular seperti Indah Ruhaila, Ara Johari, Andi Bernadee, Bittersweet dan Aina Abdul.

476 dibaca
Berita Harian X